PAS, Umno muktamad tidak bersama, kekal bermusuh di Kelantan

hanafi-mamatPETALING JAYA: PAS dan Umno Kelantan nampaknya kekal bermusuh apabila pemimpin yang dihubungi bertegas tidak akan menjalin kerjasama pilihan raya di negeri itu untuk pilihan raya umum ke-14.

Dua seteru tradisi itu dilihat tidak akan berganjak walaupun pemimpin PAS dan Umno nasional dilihat semakin mesra.

“Buat masa ini tidak nampak ada kerjasama politik di Kelantan antara PAS dan Umno dan itu keputusan yang kita buat di peringkat parti,”kata Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Hanafi Mamat kepada FMT.

Hanafi menambah sebarang kesepakatan antara Umno dan PAS Kelantan bersifat terhad dan untuk kepentingan masyarakat terbanyak.

“Pakatan PAS dan Umno kita akan wujud untuk kepentingan rakyat sahaja melibatkan soal pembangunan, agama dan kebajikan,” katanya

Hanafi juga berkata mustahil Umno Kelantan membentuk kerajaan campuran dengan PAS Kelantan selepas pilihan raya umum nanti, sepertimana Semangat 46 dan parti Islamis itu sebelum ini.

Di pihak PAS Kelantan pula, Ketua Penerangan Datuk Nasaruddin Daud berkata mereka juga membuat keputusan muktamad untuk tidak menjalin kerjasama pilihan raya dengan Umno.

“Kita akan bertanding di semua kerusi di Kelantan, macam mana kita nak bersatu? Jadi isu ini tidak perlu dibangkitkan lagi,” katanya kepada FMT.

Beliau mendakwa isu kerjasama pilihan raya Umno dan PAS di Kelantan sengaja dicetuskan oleh Amanah untuk menakut-nakutkan pengundi memandangkan rakyat Kelantan sangat sensitif tentang perkara itu.

“Ini semua orang Amanah yang suka buat fitnah. Isu ini lama dibangkitkan tapi sampai sekarang kita belum bersatu,” kata Nasaruddin.

Isu kerjasama PAS dan Umno hangat dibincangkan selepas PAS memutuskan hubungan dengan PKR April tahun lalu dan bertegas tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

Keputusan PAS untuk memaksakan pertandingan 3 penjuru di beberapa kerusi yang ditandingi Pakatan Harapan menguatkan lagi spekulasi itu.

Ia disusuli apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Najib dilihat berkongsi pentas termasuklah Himpunan Solidariti Ummah Rohingya dan Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis.