Peguam: Larang Anwar beri kenyataan dari penjara satu ugutan

SN-Nair-Nur-Jazlan-Mohamed-1PETALING JAYA: Beberapa peguam menyifatkan kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengenai tempoh tahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin dilanjutkan jika beliau mengeluarkan kenyataan tanpa kebenaran Jabatan Penjara, ialah satu bentuk ugutan.

Peguam kanan, SN Nair berkata, Nur Jazlan tidak patut membuat kenyataan di luar bidang kuasanya.

“Menteri boleh membuat kenyataan politik, tetapi bukan kenyataan mengenai pentadbiran.

“Apa yang dilakukannya sekarang ialah merampas kuasa ketua pengarah kerana peraturan penjara di bawah kuasa pengarah, bukan kementerian,” katanya kepada FMT sambil menambah ia adalah satu ugutan kepada Anwar.

Jumaat lalu, Nur Jazlan dilaporkan berkata, tindakan mengeluarkan kenyataan tanpa kebenaran pihak berkuasa boleh memberi impak kepada tempoh tahanan ketua umum PKR itu.

“Kalau ada orang tengah yang membawa mesej daripada Anwar yang tidak diluluskan Jabatan Penjara, ia merupakan satu kesalahan yang boleh memberikan impak kepada tempoh tahanannya.”

Katanya, sekiranya ada pihak ke-3 yang membawa kenyataan daripada Anwar, tindakan boleh diambil terhadap mereka, termasuk tidak dibenarkan berjumpa Anwar lagi.

Anwar dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun yang mula dikuatkuasakan sejak 2015. Beliau akan dibebaskan pada 8 Jun ini, selepas diberi 1/3 remitan daripada hukumannya.

Mengulas lanjut, Nair berkata, di bawah peraturan penjara, banduan dibenarkan mempunyai bahan bacaan dan penulisan.

“Hak asasi manusia harus diamalkan di penjara. Jika banduan lain boleh menulis buku di dalam penjara, mengapa bekas ahli politik tidak boleh mengeluarkan kenyataan ringkas?”

Nair yang mewakili Anwar untuk kes salah guna kuasanya pada lewat 1990-an berkata, beliau pernah membawa kenyataan bekas timbalan perdana menteri itu dari penjara, kepada media.

“Saya menemuinya beberapa kali seminggu dan membawanya surat khabar dan bahan bacaan lain.”

Anwar disabit bersalah oleh Mahkamah Persekutuan atas tuduhan salah guna kuasa pada 2002.

Seorang lagi peguam, Rafique Rashid Ali, berkata, hanya mahkamah mempunyai keuasa menambah tempoh penjara banduan, bukannya pihak berkuasa penjara.

“Peraturan mana yang membenarkan pihak berkuasa penjara melanjutkan tempoh penjara jika banduan melanggar undang-undang kecil?

“Berdasarkan pemerhatian saya, tiada peruntukan di bawah peraturan penjara yang membenarkan ketua pengarah menambah tempoh penjara,” katanya sambil menambah kerajaan dilihat cuba mengongkong hak kebebasan bersuara Anwar.

Naib Presiden PKR, Tian Chua yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 2 tahun bermula 2001 dan menjalani hukuman penjara September lepas kerana tidak mematuhi arahan polis berkata, beliau mengeluarkan kenyataan semasa ditahan dan tidak berdepan sebarang masalah.

Beliau mempersoalkan mengapa kerajaan “panik” dengan kenyataan Anwar.

“Beliau mengeluarkan kenyataan sejak dipenjarakan pada 1990-an. Mengapa kerajaan memberi amaran sekarang?”

Ogos lalu, Jabatan Penjara menafikan Anwar memberi komen berhubung forum “Nothing to Hide 2.0” menerusi satu kenyataan semasa beliau menghadiri prosiding kes fitnahnya di Mahkamah Tinggi.

Peguamnya, R Sivarasa menepis dakwaan jabatan itu dengan berkata, Anwar membuat kenyataan itu kerana beliau ada bersama Anwar ketika itu.

Henti beri kenyataan dari penjara, amaran Nur Jazlan kepada Anwar