Salleh: Ekonomi lebih baik bukan sebab Dr M dicalonkan PM

salleh-said-keruak-tun-m-ph-pakatanPETALING JAYA: Bendahari Agung Umno, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menolak dakwaan ekonomi negara bertambah baik disebabkan Pakatan Harapan memilih Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri gabungan pembangkang itu.

Menteri komunikasi dan multimedia itu berkata, ekonomi Malaysia tidak bertambah baik semalaman, sebaliknya ia adalah kesan positif tadbir urus dan dasar kerajaan sejak beberapa tahun ini.

“Ini adalah perbuatan tidak matang dan tidak bertanggungjawab pembangkang semata-mata untuk mendapat pujian bagi diri sendiri.

“Tetapi, kita tidak memerlukan pembohongan seterusnya daripada pihak tidak bertanggungjawab. Kita perlu realistik dan tidak memberi maklumat salah kepada rakyat,” tulisnya dalam catatan blognya https://sskeruak.blogspot.my hari ini.

Beliau mengulas dakwaan seorang blogger pembangkang yang menyatakan ekonomi negara bertambah baik dan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat susulan pengumuman PH pada 7 Januari lalu yang memilih Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri.

PH turut menyuarakan hasrat menyegerakan proses mendapat pengampunan diraja bagi membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara, jika mereka memenangi pilihan raya umum ke-14 bagi membolehkan ketua umum PKR itu dilantik sebagai perdana menteri ke-8.

Anwar dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun yang mula dikuatkuasakan sejak 2015. Beliau akan dibebaskan pada 8 Jun ini, selepas diberi 1/3 remitan daripada hukumannya.

Salleh berkata, ekonomi adalah isu global yang tidak hanya membabitkan Malaysia.

“Di Timur Tengah pun, harga minyak petrol dinaikkan dan GST (cukai barangan dan perkhidmatan) dilaksanakan. Semua negara menangani isu ini dan tiada negara terkecuali.”

Pakatan pilih Dr M calon PM, Anwar menyusul