‘NUJ patut kecam ahli politik, bukan salahkan mangsa gangguan seksual’

Sumitra-Visvanathan_wao_nuj_600

PETALING JAYA: Sebuah kumpulan memperjuangkan hak wanita mengecam kenyataan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) mengaitkan pemakaian wartawan wanita sebagai satu faktor mereka menjadi mangsa gangguan seksual ahli politik.

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) berkata, respons NUJ mengecewakan kerana menyalahkan mangsa dan tidak mengecam jenayah gangguan seksual.

“NUJ patut menghormati apa yang disuarakan ahli wanita mereka dan memperakui ia adalah endemik dan berbahaya.

“Apa yang diperlukan adalah maklum balas tegas untuk melindungi dan menyokong mangsa gangguan seksual, jika tidak, jenayah itu akan terus dibiarkan dan menjadi kebiasaan dalam bidang ini,” kata Pengarah Eksekutif WAO, Sumitra Visvanathan.

Semalam, Presiden NUJ, Mohd Taufek Razak dipetik sebagai berkata, pengamal media wanita harus berpakaian sopan semasa bertugas, termasuklah tidak berpakaian seksi untuk mengelakkan gangguan seksual.

Katanya, menjadi lumrah lelaki tertarik kepada wanita dan wanita mahu menarik perhatian lelaki.

Kenyataan itu susulan laporan Asian Correspondent kelmarin mengenai 2 wartawan wanita Malaysia diganggu secara seksual oleh ahli politik lelaki yang perlu ditemubual mereka.

Dua daripada 8 wartawan yang dilaporkan dalam artikel itu ialah rakyat Malaysia.

Seorang mangsa itu berkata, seorang ahli politik menghantar mesej lucah dan meraba pahanya semasa sesi temubual.

Seorang lagi berkata, seorang ahli Parlimen tidak berhenti menghantar mesej bertanyakan kehidupan peribadinya, dan mengajaknya makan malam walaupun sudah berkahwin.

Sumitra memuji wanita itu yang tampil mendedahkan tindakan “ahli politik pemangsa” itu.

“Gangguan dilakukan atas niat memalukan, mengawal dan menjadikan seseorang itu mangsa.”

Seorang lagi jurucakap WAO, Tan Heang Lee berkata, masalah itu terletak pada tanggapan lelaki terhadap wanita.

“Lelaki tiada hak ke atas badan wanita. Daripada menasihatkan wanita berpakaian sopan, kita perlu minta lelaki menghormati wanita.”

Katanya, gangguan seksual lebih mudah berlaku apabila wujud ketidakseimbangan kuasa, di mana pelaku lebih berkuasa daripada mangsa.

“Sebab itulah kita harus menjadikan mereka yang menyalahgunakan kuasa bertanggungjawab dan tidak menyalahkan mangsa,” katanya kepada FMT.

Beliau juga menggesa parti politik memastikan wakil mereka dipertanggungjawabkan atas gangguan seksual yang dilakukan.

Tan berkata, perlindungan sedia ada untuk mangsa gangguan seksual di bawah Akta Kerja tidak mencukupi dan terhad dari segi peranannya sebagai panduan untuk majikan mengendali aduan sebegitu.

“Undang-undang ini mungkin tidak akan membantu wartawan bertugas yang diganggu ahli politik lelaki.

“Apa yang kita perlu ialah Akta Gangguan Seksual untuk melindungi semua orang daripada semua bentuk gangguan seksual, tidak kira di dalam atau di luar tempat kerja.”

PH selar gangguan seksual ahli politik terhadap wartawan