‘Tidak kira apa keputusan PRU14, kerjasama Singapura-Malaysia kekal’

lee-najib

PETALING JAYA: Perdana menteri Singapura berkata, tidak kira siapa yang menerajui Malaysia selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14), perjanjian ditandatangani kedua-dua negara itu akan terus dilaksanakan.

Lee Hsien Loong berkata demikian sebagai menjawab soalan sama ada kedua-dua negara boleh memberi jaminan Sistem Transit Rapid (RTS) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) akan tetap diteruskan jika berlaku perubahan dalam persekitaran politik di Malaysia yang perlu mengadakan PRU14 tahun ini.

Beliau dipetik Bernama berkata, semua projek membabitkan lebih sebuah negara dan memakan masa lebih satu penggal pemerintahan “memerlukan komitmen jangka panjang”.

“Komitmen itu diberi secara formal, manakala perjanjian yang ditandatangani antara 2 kerajaan hari ini (semalam) merupakan suatu ikatan perjanjian yang terus terpakai, dan tidak kiralah siapa jua yang menjadi kerajaan di sebelah sana, perjanjian ini perlu mereka warisi dan menjadi pihak kepadanya.

“(Bagaimanapun) bagi pihak Singapura, saya tidak mempunyai sebarang keraguan tentang hasrat kami untuk melaksanakan apa yang kami tandatangani dan beri komitmen hari ini,” katanya pada sidang media bersama Datuk Seri Najib Razak sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-8 di Istana Singapura, semalam.

Malaysia dan Singapura menandatangani 2 perjanjian dua hala berkaitan projek RTS dan HSR semalam, yang masing-masing dijangka siap pada 2024 dan 2026.

Sementara itu, Najib berkata, kedua-dua negara itu tidak mahu kembali kepada zaman diplomasi konfrontasi yang gemar melaungkan kata-kata retorik terhadap satu sama lain.

“Kami mahu melupakan era itu dan tidak ingin sekali-kali kembali kepada era tersebut.

“Kami percaya kedudukan kerajaan sekarang merupakan kedudukan yang akan membawa manfaat bersama kepada Singapura dan Malaysia dan kami sentiasa berpegang kepada dasar, agenda dan kemampuan kami untuk menyampaikan manfaat sebenar dan ketara kepada rakyat Malaysia serta Singapura.”