Bersih gesa SPR jelas status pengundi di luar negara

Maria-Chin-Abdullah_spr_undi_600

PETALING JAYA: Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah meminta Putrajaya menjelaskan beberapa isu dihadapi pengundi Malaysia berdaftar yang tinggal di luar negara.

Katanya, beliau menerima aduan pengundi tidak mendapat jawapan sewajarnya daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau berkata, laporan bercanggah menimbulkan kekeliruan di kalangan ahli Bersih yang tinggal di luar negara.

Maria berkata, mereka yang dibenarkan membuat pengundian awal atau pos pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) tidak pasti sama ada mereka perlu mendaftar semula untuk PRU14.

Sesetengah pengundi juga ingin tahu sama ada mereka akan mendapat notis awal mengenai tarikh PRU14 supaya mereka boleh pulang ke tanah air untuk mengundi.

Katanya, mereka perlu membuat perancangan dan menyimpan wang untuk membeli tiket penerbangan.

Beliau berkata, pengundi di luar negara turut merayu syarikat penerbangan tempatan — AirAsia dan Malaysia Airlines — menawarkan harga istimewa untuk rakyat pulang ke negara mengundi.

Maria berkata, sesetengah ahli Bersih di luar negara tidak tahu status mereka sebagai pengundi selepas membuat pendaftaran atas talian.

“Tiada orang boleh memberi jawapan terus kepada mereka. Tanggungjawab itu terletak pada SPR.

“Mereka tidak boleh tunggu sehingga Parlimen dibubarkan untuk mengumumkan sama ada rakyat Malaysia di luar negara perlu pulang untuk mengundi.”

Tambahan, beliau meminta SPR menjelaskan jika orang luar dibenarkan memerhati proses mengundi di luar negara, seperti pada PRU13.

“Proses itu tidak jelas ketika itu kerana ada yang boleh masuk untuk memerhati, manakala yang lain dilarang berbuat demikian. SPR perlu menjelaskan semua perkara ini.”