Untuk bertudung atau tidak juga hak wanita, NGO Islam diberitahu

Marina_Mahathir_rafidahPETALING JAYA: Datin Paduka Marina Mahathir membalas tuduhan beliau memilih dalam mempertahankan hak asasi wanita Islam, selepas seorang aktivis mendakwa anak sulung Tun Dr Mahathir Mohamad itu membisu ketika kecoh kontroversi pekerja wanita Islam dilarang bertudung oleh beberapa hotel terkemuka.

“Saya juga boleh berkata demikian mengenai kamu,” kata Marina kepada FMT, diminta mengulas kenyataan Presiden Gabungan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq), Rafidah Hanim Mohtar.

Rafidah mengkritik Marina kerana mengutuk tindakan seorang lelaki yang memarahi sekumpulan wanita Islam di khalayak ramai, sebelum menampar salah seorang daripada mereka.

Sambil berkata insiden itu terpencil dan tidak pernah dianjurkan umat Islam, Rafidah mempersoalkan mengapa Marina tidak bersuara isu diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam memakai tudung.

“Sangat mengecewakan apabila Marina memilih untuk fokus insiden janggal yang terjadi baru-baru ini di mana seorang lelaki menampar seorang wanita tidak bertudung.”

Isu melibatkan beberapa hotel itu dibangkitkan Wafiq tahun lalu dan menerima reaksi marah daripada pelbagai pihak.

Marina menafikan tuduhan itu, dan berkata diskriminasi wanita Islam bertudung sudah pun dikutuk Sisters In Islam (SIS), pertubuhan hak wanita Islam, melalui kenyataan bersama dengan Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG).

SIS ketika dihubungi berkata bukan sahaja hak wanita untuk bertudung perlu dibela, tetapi hak mereka supaya tidak dipaksa bertudung juga perlu diperjuangkan.

“Kami juga menegaskan bahawa sebarang polisi yang menetapkan supaya wanita wajib bertudung adalah diskriminasi juga,” kata Pengarah Eksekutif SIS, Rozana Isa.

Rozana berkata kejadian menampar wanita tidak bertudung itu perlu diberi perhatian kerana ia melibatkan keselamatan wanita di tempat awam.

“Kini mereka dibebani pula dengan ancaman lelaki yang sewenang-wenangnya menggunakan keganasan fizikal ke atas mereka atas dasar ajaran agama.

“Ianya dilakukan seorang lelaki yang menggunakan agama untuk memperkasakan dirinya melakukan perbuatan keganasan tersebut,” katanya.

Rozana berkata wanita sama ada bertudung atau tidak bertudung perlu dihormati.

Sementara itu, Marina mencabar Rafidah menjelaskan pendiriannya berhubung insiden tampar itu.

“Adakah dia menyokong keganasan terhadap wanita? Adakah wajar untuk sesiapa menengking dan menampar sebegitu atas apa-apa alasan?

“Adakah Islam membenarkan kita menegur orang dengan cara macam itu atau Al-Quran menyuruh kita bercakap dengan baik selalu.

“Mengapa lelaki berkenaan menyangka dia boleh berbuat sebegitu kepada wanita? Siapa yang memberi autoriti kepadanya?” soalnya.

Aktivis Islam tuduh Marina memilih dalam bersuara tentang hak wanita