Wanita lapor polis selepas video ditampar lelaki kerana tak bertudung tersebar

Nik-Ros-Azhan_tudung_tampar_60056

BUKIT MERTAJAM: Seorang wanita warga Indonesia hari ini membuat laporan polis berhubung kejadian seorang lelaki dipercayai kurang siuman bertindak menolak kepalanya kerana tidak memakai tudung semasa menunggu bas di perhentian bas Taman Perwira.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada 6 Januari lepas, mangsa berusia 24 tahun yang bekerja di sebuah kilang di Perai sedang menunggu bas bersama kakaknya.

“Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa menunggu bas ke Bukit Mertajam untuk berjumpa rakannya sebelum tiba-tiba seorang lelaki dipercayai kurang siuman menghampirinya.

“Lelaki yang dalam keadaan tidak terurus itu bertanyakan mangsa mahu ke mana dan wanita berkenaan memberitahu dia mahu berjumpa kawan serta berjalan-jalan di bandar,” katanya hari ini.

Katanya, lelaki itu tiba-tiba memarahi mangsa kerana tidak bertudung dan berkata dia pantang serta tidak suka melihat wanita tidak bertudung atau menutup aurat.

Nik Ros Azhan berkata, mangsa mendiamkan diri, tetapi lelaki itu bertindak menolak kepala wanita berkenaan menggunakan tangannya sebelum kakak mangsa menghalang suspek daripada terus memukul adiknya.

Katanya, lelaki itu kemudiannya meninggalkan mereka, manakala mangsa yang tidak mengalami kecederaan terus pulang ke rumahnya serta tidak mendapatkan rawatan di klinik.

“Mangsa hari ini tampil membuat laporan polis kerana bimbang kejadian sama berulang pada masa depan dan insiden tersebut turut menjadi tular di media sosial sejak minggu lepas selepas rakaman video berhubung kejadian itu dikongsikan seorang pengguna facebook,” katanya.

Beliau berkata, polis sudah mengenal pasti lelaki berusia 30 tahun dalam kejadian itu dan pergi ke rumah suspek, namun dia tiada di rumah kerana keluar merayau.

“Menurut bapa saudara lelaki itu, suspek kurang siuman sejak 15 tahun lepas akibat kemalangan jalan raya dan kami akan terus mengesannya serta menghantarnya ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.”