Asri dan Shahidan tidak senang dengan Perlis Hope, Suhakam diberitahu

asri-shahidan-isteri-malaysiaKUALA LUMPUR: Isteri kepada aktivis Perlis yang hilang, Amri Che Mat, hari ini memberitahu siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang beliau mengesyaki penglibatan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

“Ada berkemungkinan (kehilangan Amri) melibatkan pihak berkepentingan seperti Shahidan, MAIPs sebab mereka kecam aktiviti Perlis Hope,” kata Norhayati Ariffin ketika ditanya ahli panel Suhakam sama ada beliau mengesaki mana-mana pihak atas kehilangan suaminya.

Norhayati turut menamakan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin antara mereka yang tidak senang dengan aktiviti kebajikan dijalankan suaminya di bawah NGO Perlis Hope.

Asri, katanya, pernah menuduh Perlis Hope yang diketuai suaminya kononnya mempunyai kaitan dengan aktiviti keganasan.

Menurutnya, 3 tahun lalu, Asri merupakan antara 20 pegawai Jabatan Mufti Perlis dan polis yang membuat serbuan di rumahnya mencari suaminya untuk disoal siasat.

“Pada masa itu suami tidak ada di rumah. Mereka minta kebenaran masuk tapi saya tak izin sebab suami tak ada di rumah. Mereka ambil keterangan berkaitan kegiatan suami. Saya dan 4 orang anak di rumah,” katanya.

Menurutnya beliau terdengar pegawai polis menjerit menanyakan anak perempuannya di mana ibu bapanya.

“Saya dengar jeritan suruh anak kami di atas untuk turun. Saya dapati salah seorang polis atau pegawai jabatan terbabit masuk pejabat Perlis Hope dan buka pintu tanpa kebenaran,” katanya.

Pejabat Perlis Hope terletak bersebelahan rumah Amri.

Amri, 44, pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016 lepas.

Sebelum ini Norhayati berkata saksi ternampak 5 buah kenderaan menghalang laluan kereta Toyota Fortuner milik Amri, sebelum beliau dibawa pergi, kira-kira 550m dari rumah mereka ke Bukit Chabang, Perlis.

Amri merupakan anggota ekspedisi Everest 1997, yang mencatatkan sejarah pertama kali rakyat Malaysia menawan gunung tertinggi di dunia itu.

Sebelum ini, terdapat spekulasi beliau terlibat dalam penyebaran ajaran Syiah, aliran Islam yang difatwakan sesat oleh pihak berkuasa agama Malaysia. Dakwaan itu ditolak Norhayati.

Dalam laporan polisnya, Norhayati berkata pada hari kejadian, beliau terlihat kereta dan motosikal yang tidak dikenali diparkir dekat rumah mereka.

Selain kehilangan Amri, siasatan Suhakam ini turut mahu menjawab misteri kehilangan Paderi Joshua Hilmy dan isterinya Ruth.

Seorang lagi yang hilang, Pastor Raymond Koh, tidak lagi menjadi subjek siasatan, selepas seorang suspek dihadapkan tuduhan menculiknya di mahkamah minggu lalu.

Ini kerana Seksyen 12 Akta Suhakam menyatakan siasatan awam perlu dihentikan jika ia menjadi kes mahkamah.

Siasatan Pastor Koh henti selepas polis dakwa suspek

Amri hilang kerana kaitan Syiah? Isteri perjelaskan