BN Tuaran ikrar sapu bersih 1 kerusi Parlimen, 3 DUN

Hajiji-Noor_bn_600

KOTA KINABALU: Pemimpin BN Bahagian Tuaran di Sabah berikrar menyapu bersih kerusi Parlimen itu dan 3 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan berkenaan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi BN Bahagian Tuaran, Datuk Seri Hajiji Noor menekankan kepentingan menyusun jentera pilihan raya memandangkan PRU14 mungkin diadakan dalam tempoh sebulan.

“Jangan berpaling kepada satu sama lain, sebaliknya menyokong calon kita. Kita perlu menjatuhkan pembangkang,” katanya yang disambut dengan sorakan ahli BN daripada Umno, Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan MCA dalam satu perhimpunan hari ini.

Pada PRU13, BN memenangi kerusi Parlimen Tuaran melalui calon Upko, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan kerusi DUN Sulaman melalui Hajiji serta DUN Kiulu oleh calon PBS, Datuk Joniston Bangkuai dengan majoriti tipis 44 undi.

Bagaimanapun, calon PBS, Datuk Jahid Jahim tewas di kerusi DUN Tamparuli kepada Datuk Seri Wilfred Bumburing yang bertanding atas tiket PKR, sebelum keluar parti dan mengambil alih Parti Cinta Sabah yang diketuainya sekarang.

Tangau yang merupakan pemangku presiden Upko berkata, BN Tuaran sudah belajar daripada pengalaman pada PRU13.

“Pada pilihan raya lalu, ada ahli BN yang menyokong pembangkang, percaya penipuan mereka yang kita akan kalah.”

Beliau berkata, sentimen di kalangan ahli BN Tuaran untuk PRU14 bagaimanapun berbeza dengan perasaan “feel good” kerana perkara seperti pemilihan ketua pusat daerah mengundi berdasarkan kata sepakat di kalangan parti komponen.

Hajiji bersetuju pembangkang cenderung memberi janji “pelik”, termasuk menubuhkan Kementerian Pendidikan negeri.

“Kos mengendalikan kemudahan pendidikan di Sabah sahaja ialah RM3 bilion hingga RM4 bilion setahun. Pendapatan negeri hanya melebihi RM3 bilion dan gaji penjawat awam sahaja sekurang-kurangnya RM700 juta.

“Kami sudah lihat bagaimana YB pembangkang bekerja. Mereka hanya boleh mengadu dan menyalahkan orang lain. Tiada apa-apa dilakukan mereka,” kata Tangau.

Menteri sains, teknologi dan inovasi itu berkata, melalui BN, kerajaan negeri di bawah pimpinan Tan Sri Musa Aman membuktikan dirinya sebagai ketua menteri berkesan.

bn_sabah3
Pemangku Presiden Upko, Wilfred Madius Tangau (tiga dari kiri) dipeluk bekas ahli pembangkang yang menyertai sebuah parti komponen BN di Tuaran.

“Kami tahu pencapaian dan rekod prestasinya.”

Katanya, BN mempunyai perdana menteri yang prihatin terhadap kesejahteraan rakyat Sabah.

“Sebagai menteri persekutuan, saya menemui beliau untuk meminta dana membaiki masjid dan surau di Sulaman dan dewan gereja di Tuaran, yang diluluskan beliau tanpa teragak-agak,” kata Tangau.

“Pembangkang sebaliknya hanya boleh mencalonkan lelaki berusia 92 tahun sebagai perdana menteri mereka.”

Beliau berkata, pelbagai kajian menunjukkan BN boleh memenangi PRU14 dengan mendapat 2/3 majoriti daripada semua 222 kerusi Parlimen di negara ini.

Dalam majlis hari ini, Hajiji turut menerima beratus permohonan daripada bekas ahli pembangkang untuk menyertai parti komponen BN di Sabah.