KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengakui kegagalan 1MDB dan ada “sebab sah untuk bimbang” mengenai hal ehwal syarikat milik Kementerian Kewangan itu sehingga menyebabkan siasatan dijalankan di beberapa negara lain.
“Sekarang, saya tidak akan menafikan isu ini. Memang berlaku kegagalan dalam syarikat itu, kelemahan tadbir urus,” katanya kepada kira-kira 1,000 hadirin pada persidangan Invest Malaysia 2018, hari ini.
Tetapi, Najib berkata, isu 1MDB dieksploitasi secara politik dan ada “kempen tumpuan” untuk mensabotaj ekonomi Malaysia.
Katanya, kerajaan sedar terhadap kegagalan 1MDB dan itu sebabkan ia menjalankan siasatan membabitkan banyak pihak berkuasa.
“Hasil siasatan mereka diterima – dan lembaga pengarah syarikat itu dibubarkan, pasukan pengurusan dirombak dan operasinya dikaji semula,” katanya.
1MDB ditubuhkan kerajaan untuk mempromosikan pembangunan ekonomi jangka panjang demi manfaat rakyat Malaysia.
Najib yang mempengerusikan lembaga penasihatnya sehingga 2016, berkata 1MDB sudah merasionalisasikan asetnya dan dengan hasilnya, mengambil pendekatan agresif untuk mengurangkan hutangnya ke tahap terendah.
Beliau berkata, syarikat itu menumpu perhatian untuk memastikan 2 asetnya yang paling berharga, Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange, kekal menjadi cadangan pelaburan menarik kepada pemegang saham dan pelabur.
“Sama seperti kita belajar daripada pengalaman, jadi kami belajar daripada kesilapan lampau.
“Itu ialah isu masa lalu yang kami perlu betulkan. Tetapi kami sudah fokus kepada masa depan.”