PH, PAS percaya Isa Samad tidak sekuat dulu

Aminuddin-HarunPETALING JAYA: Walaupun Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad pernah menguasai Negeri Sembilan, pembangkang percaya pencalonan Isa, yang dikaitkan dengan pelbagai kontroversi berkaitan Felda, hanya akan membantu kempen mereka pada pilihan raya umum nanti, khususnya di Parlimen Jempol.

Pakatan Harapan (PH) akui memenangi Jempol yang disandang Isa bukan tugas mudah namun tidak mustahil, melihat kepada penularan isu semasa dan golongan muda yang ramai.

“Kita tahu Jempol kubu kuat Umno di Negeri Sembilan kerana ada kawasan-kawasan Felda…tetapi kita akan memberi persaingan yang baik,” kata Ketua PH Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Aminuddin berkata akses kepada media yang hebat sekarang ini telah menonjolkan banyak isu-isu dalam Felda, dari isu harga kelapa sawit sehingga isu kehilangan tanah, berbanding keadaan pada pilihan raya umum 2013.

“Masyarakat telah melihat semua itu dan kita juga melihat generasi kedua masih terbiar. Walaupun ada usaha nak buat rumah tapi kita lihat semua perumahan di Jempol tergendala…projek tak buat pun ada.”

Isa menang bergaya di Jempol pada PRU13, meninggalkan calon PAS Wan Aishah Wan Ariffin dengan majoriti selesa 8,629 undi. Isa meraih 31,124 undi atau hampir separuh daripada 65,213 pengundi berdaftar.

Kemenangan itu menyusuli penggantungan keahliannya di dalam Umno selama 3 tahun pada 2005 atas tuduhan mengamalkan politik wang. Isa ketika itu dilihat kembali semula ke kerusi Jempol yang dimenanginya pada 2004.

“Kalau Isa Samad dan konco-konconya itu balik, perkara yang sama akan berlaku,” kata Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Mustaffa Daharun.

PAS berharap pendedahan isu demi isu berkaitan Felda akan memberi kesan pada “mood” pengundi Melayu di situ.

Mustaffa optimis kerana keputusan PRU12 dan PRU13 menunjukkan PAS berjaya mengurangkan majoriti BN dari 12,320 undi (Lilah Yasin lawan Siti Meriam Naam) kepada 8,629 undi (Isa lawan Wan Aishah Wan Ariffin).

“Kita berjaya kurangkan dan kita harap dengan isu-isu berlaku sekarang ini, keadaan itu akan jauh berubah,” katanya.

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Mustaffa Daharun
Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Mustaffa Daharun

Tok Mat bukan penentu

Isa juga merupakan menteri besar Negeri Sembilan yang ke-9 dan memerintah negeri itu selama 22 tahun dari 1982 hingga 2004.

Ditanya sama ada populariti menteri besar sekarang, Datuk Mohamad Hasan, akan menyukarkan peluang pembangkang di Jempol, Aminuddin berkata pengaruh “Tok Mat” diperbesar-besarkan.

“Di sana Tok Mat tidak seperti di Rantau ataupun di Seremban. Bagi saya Tok Mat seorang menteri besar biasa. Tok Mat dah 3 penggal saya rasa jadi menteri besar…dah 15 tahun baru kita nampak yang ada pada hari ini,” katanya.

Mohamad menjadi menteri besar pada 2004 menggantikan Isa, yang diangkat ke persekutuan. Beliau dikatakan sangat popular dalam kalangan rakyat Negeri Sembilan kerana kemesraan dengan rakyatnya.

PAS pula berkata Mohamad mahupun Isa, BN dan PH, tidak akan memberi masalah kepada parti Islamis itu.

“Sesiapa sahaja boleh bertanding,” kata Mustaffa.