11 negara TPP meterai perjanjian baru Mac ini

Perkongsian-Trans-PasifikTOKYO: Perunding utama dari 11 negara anggota Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) bersetuju untuk menandatangani satu perjanjian perdagangan bebas yang dinamakan sebagai TPP 11 tanpa Amerika Syarikat (AS) di ibu kota Chile, Santiago pada 8 Mac, lapor agensi berita Jepun Jiji Press.

Persetujuan untuk mengadakan majlis menandatangani perjanjian itu dibuat susulan rundingan 2 hari yang berakhir di Tokyo pada Selasa memandangkan negara anggota TPP menjadi yakin dalam menyelesaikan semua isu yang masih ada termasuk permintaan Kanada bagi mendapatkan layanan istimewa untuk pasaran budayanya sendiri, kata sumber.

Menteri Pemulihan Ekonomi Jepun, Toshimitsu Motegi, memberitahu sidang akhbar selepas pertemuan itu perunding membuka jalan ke arah mewujudkan peraturan perdagangan yang adil serta bebas di rantau Asia-Pasifik, yang beliau sifatkan sebagai pusat pertumbuhan dunia.

“Jepun akan menjelaskan kepada AS tentang kepentingan TPP untuk membawa negara itu kembali ke pangkuan pakatan perdagangan tersebut,” kata Motegi.

Presiden AS Donald Trump menarik keluar negaranya daripada perjanjian perdagangan bebas pelbagai hala yang asal pada awal tahun lepas.

Perjanjian baharu dalam kalangan negara anggota TPP yang masih kekal bakal menyaksikan penangguhan pelaksanaan beberapa langkah yang dipersetujui oleh semua 12 negara anggota asal pakatan itu.

Jika AS kembali ke pangkuan TPP, semua langkah ini akan berkuat kuasa.

Sebelas negara anggota bersetuju untuk membekukan 22 perkara, termasuk 2 perkara tambahan seperti pemansuhan layanan keutamaan kepada syarikat milik negara.

Permintaan Vietnam bagi menangguhkan pengenalan peraturan untuk menyelesaikan pertikaian buruh serta permintaan Kanada untuk mengehadkan pelaburan asing bagi melindungi filem dan budaya domestik lain tidak akan dibekukan tetapi akan dilihat pada tahap tertentu dalam perjanjian dua hala antara negara anggota, kata sumber.

Jepun berharap TPP 11 akan berkuat kuasa pada awal 2019.