Amri tidak disenangi masyarakat kerana ‘berbeza’, kata rakan

Abdul-Jamil-Ahmad
Jamil saksi ke-2 siasatan awam Suhakam berhubung kehilangan Amri tiba di pejabat Suhakam kira-kira jam 12 tengahari.

KUALA LUMPUR: Rakan kepada Amri Che Mat yang hilang secara misteri memaklumkan aktivis kebajikan itu tidak disenangi masyarakat kerana pemikirannya yang berbeza dengan orang lain di Perlis.

Abdul Jamil Ahmad di inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini berkata pemikiran Amri dilihat bercanggah dengan amalan masyarakat di Perlis.

“Dia agak liberal dalam fahaman agama, Amri tidak suka menyalahkan orang lain. Dia tidak turut sangat apa yang diamalkan masyarakat setempat seperti tidak boleh ziarah kubur, tidak boleh tahlil.

“Di rumah dia juga ada buat doa-doa pada malam Jumaat. Mungkin orang tak suka sebab pemikiran dia berbeza,” katanya.

Jamil adalah saksi ke-2 siasatan awam Suhakam ke atas kehilangan misteri Amri, dan 3 individu lain. Amri, 44, pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016 lepas. Suhakam sekarang ini sedang mengambil keterangan berhubung dakwaan Amri terlibat dengan ajaran Syiah.

Isteri Amri, Norhayati Ariffin sebelum ini berkata saksi ternampak 5 buah kenderaan menghalang kenderaan milik suaminya sebelum dibawa pergi, kira-kira 550m daripada rumah mereka ke Bukit Chabang, Perlis.

Tidak disukai kumpulan politik

Jamil memberitahu inkuiri yang Amri pernah memberitahu ada kumpulan politik tertentu tidak senang dengan aktiviti kebajikan Perlis Hope.

Jamil mengesahkan Perlis Hope tiada kaitan dengan gerakan agama dan beliau sendiri menyokong aktiviti kebajikan NGO itu. Jamil bukan ahli Perlis Hope.

“Pada perkiraan saya kes ini melibatkan kepentingan politik tertentu, khususnya Umno, yang tidak perpuas hati. Amri kata mereka tidak suka kerana Perlis Hope masuk kawasan dan bina rumah perlindungan.

“Ia menunjukkan wakil rakyat kawasan berkenaan tidak menjaga kawasan itu,” katanya.

Ditanya sama ada aktivis itu pernah terlibat dengan politik, Jamil berkata Amri suatu ketika pernah menyokong PAS.

“Sebelum ini dia banyak terlibat dengan aktiviti PAS tetapi sejak akhir-akhir ini, sebelum dia hiang, dia tidak lagi menyokong PAS kerana sudah tak suka cara PAS sekarang,” katanya.

Amri suka cerita politik Iran

Ditanya tentang hubungan dengan Amri, Jamil memberitahu panel bahawa mereka mula berkenalan pada 2003 di Iran, sebuah negara majoriti pengikut ajaran Syiah.

“Saya bercuti di Tehran bersama rombongan. Amri ke Iran seorang diri dan kami bertemu di sana. Kami kemudiannya menjadi kawan kerana sama-sama dari Utara…Amri dari Perlis, saya dari Kedah.”

Menurut Jamil, mereka selalu bertemu sekurang-kurangnya 2 kali seminggu dan sejak mengenali Amri, kawannya itu sering bercerita tentang politik Iran.

“Dia suka apa yang dibuat Iran dalam politik dan kuasa politik Iran di Timur Tengah.”

Jamil juga pernah mengunjungi pejabat Perlis Hope, yang menurutnya ada gambar-gambar aktiviti kebajikan dan tulisan dari Iran.

“Ada gambar-gambar dari Iran, tulisan-tulisan ‘bismillah’, dalam bilik itu serta buku-buku doa,” katanya. Menurut Jamil, antara gambar tulisan yang ada ialah “Husayn dizalimi”, merujuk kepada Husayn Ali, iaitu cucu Nabi Muhammad dan “imam” ke-3 bagi pengikut Syiah.

Amri cemas

Ditanya mengenai kehilangan Amri, Jamil berkata beliau sepatutnya bertemu Amri di Jitra pada 25 November, iaitu sehari selepas hari beliau dipercayai diculik.

“Kali terakhir saya hubungi Amri kira-kira jam 11:34 malam (24 November) tetapi dia dalam keadaan cemas ketika itu dan sempat beritahu ‘O.K’ sahaja.”

“Apabila saya sampai di tempat berjumpa (12:20 pagi, 25 November) Saya cuba hubungi Amri tetapi tidak dapat. Saya bimbang Amri terlibat dalam kemalangan. Esok, awal pagi jam 6.30 macam itu, isteri Amri hubungi saya tanya ada jumpa Amri dan isteri Amri beritahu pois jumpa kereta dan Amri mungkin diculik,” katanya.