Badan Islam selar Dong Zong tak bersyukur minta 34 SJKC

Amini-Amir-Abdullah_sekolah_cina_600

PETALING JAYA: Majlis Amal Islami Malaysia (Maim) di bawah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyelar Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) meminta tambahan 34 sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di seluruh negara.

Pengerusi Kluster Pendidikan Maim, Dr Amini Amir Abdullah menyifatkan tindakan Dong Zong ibarat “diberi betis nak paha” kerana tidak bersyukur dengan tindakan kerajaan membina tambahan 10 SJKC dan memindahkan 6 SJKC sedia ada.

Beliau turut mendakwa Dong Zong cuba mengambil kesempatan dan mengugut kerajaan menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kerana SJKC sedia ada cukup menampung pelajar berbilang kaum di seluruh negara.

“Dong Zong mengharapkan sesuatu yang belum tentu, barang yang tersedia hendak dilepaskan. Apakah Dong Zong berterima kasih kepada kerajaan?

“Dong Zong adalah perwakilan puak-puak chauvinis dan oportunis yang cuba mengambil kesempatan dan tuntutan mereka boleh dilihat sebagai menangguk di air keruh memandangkan PRU14 sudah semakin hampir.

“Tuntutan ini juga boleh dilihat sebagai satu ugutan kepada kerajaan menjelang PRU14,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan Sinar Harian semalam yang memetik Presiden Dong Zong, Datuk Vincent Lau berdasarkan wawancara dengan Oriental Daily, Ahad lalu, yang menyambut baik tindakan kerajaan meluluskan pembinaan dan pemindahan 16 SJKC di 4 negeri pada 26 Oktober lalu.

Beliau dilaporkan berkata, masih ada banyak kawasan tidak mempunyai SJKC, selain masalah murid terlalu ramai di sesebuah SJKC.

“Apabila berlaku keadaan ini, murid terpaksa memilih sekolah yang jauh daripada kawasan kediaman mereka. Inilah antara masalah yang masih gagal diselesaikan oleh Kementerian Pelajaran,” katanya dalam laporan Sinar Harian.

Lau berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat membina SJKC dengan lebih bersistematik dan tidak menjadikan rancangan pembinaan SJKC sebagai isu politik dengan membuat pengumuman menjelang pilihan raya umum.

“Apa yang pihak kami dapati ialah kebanyakan sekolah baharu yang dibina adalah terletak di kawasan pembangunan baharu. Sebaliknya, hasil kajian yang dilakukan Dong Zong mendapati kesemua lokasi berkenaan bukanlah kawasan yang memerlukan sekolah rendah Cina.

“Dong Zong berharap kerajaan dapat membina sekolah rendah Cina di kawasan yang padat dengan penduduk serta membina sekolah baharu berhampiran dengan sekolah yang menghadapi masalah kepadatan murid.”

Amini berkata, SJKC menyebabkan polarisasi kaum di negara ini dan Dong Zong berbohong apabila mengatakan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar SJKC adalah baik.

“Ini adalah tidak benar kerana kebanyakannya tidak fasih berbahasa Melayu (bahasa kebangsaan) dan juga kurang boleh berkomunikasi serta menulis dengan baik.

“Mereka juga tidak berpeluang untuk berinteraksi, berkomunikasi dan bergaul dengan bangsa lain. Apatah lagi nak bermuafakat atau bersatu padu,” katanya sambil menambah beberapa kajian mendapati pelajar Cina yang belajar di sekolah kebangsaan dan mendapat pendidikan Inggeris lebih mudah bergaul dengan pelajar Melayu berbanding pelajar SJKC.

Beliau juga bimbang dengan kos untuk membina SJKC baharu dan mempersoalkan jika hak Bumiputera diperjuangkan sepenuhnya seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pada 26 Oktober lalu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dilaporkan berkata, kementeriannya meluluskan permohonan membina 10 SJKC baharu bagi memenuhi keperluan pendidikan masyarakat Cina, masing-masing 5 di kawasan pesat membangun serta mempunyai ramai penduduk Cina di Selangor dan Johor.

Beliau turut mengumumkan pemindahan lokasi 6 SJKC, iaitu Johor (2), Selangor (2), Negeri Sembilan (1) dan Kuantan (1).

Katanya, pemindahan itu disebabkan sekolah mempunyai murid semakin kurang kerana penghijrahan penduduk, sekolah tidak selamat diduduki, pengambilan tanah oleh pemilik serta sekolah padat.

Ketika ini, seluruh negara mempunyai 1,298 SJKC dengan 883 daripadanya berstatus sekolah bantuan kerajaan.