Nur Jazlan: Shafie akan hilang sokongan 3 juta anggota Rela

jazlan-shafie2PUTRAJAYA: Datuk Nur Jazlan Mohamed hari ini berkata Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Shafie Apdal tidak akan mendapat sokongan 3 juta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) kerana kenyataannya baru-baru ini.

Timbalan menteri dalam negeri itu berkata, anggota Rela tersinggung dengan kenyataan Shafie mempertikaikan tindakan menempatkan anggota Rela di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

“Tidak perlulah kita hukum dia lebih lagi.

“Yang penting, beliau kelihatan seorang pemimpin tidak mementingkan hati rakyat, tidak bersimpati dengan pengorbanan anggota Rela yang membuat kerja secara sukarela,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Rela Malaysia hari ini.

Selepas satu video 21 saat tular baru-baru ini, media melaporkan Shafie dalam ucapan di satu program di Tuaran mempertikaikan tindakan menempatkan anggota Rela yang tidak mahir mengendalikan senjata api di Esszone, dan menambah anggota Rela hanya sesuai ditugaskan untuk mengawal trafik di majlis kenduri.

Pada 20 Januari lepas, Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman mempertahankan anggota Rela dan dilaporkan berkata Shafie juga pernah mendapat manfaat daripada perkhidmatan Rela ketika berada dalam kerajaan.

Nur Jazlan menyifatkan kenyataan ahli Parlimen Semporna itu seolah menghina anggota Rela di Sabah. Timbalan menteri itu menjelaskan anggota Rela yang terlibat tidak diletakkan dalam keadaan yang memberi risiko.

“Mereka tidak diletakkan dalam apa-apa operasi strategik, taktikal atau bahagian hadapan. Mereka di barisan belakang memastikan kawasan selamat.

“Mereka diberikan latihan secukupnya, yang relevan dengan tugas yang mereka akan lakukan,” katanya.

Beliau menambah, aktiviti penguatkuasaan oleh anggota Rela juga dilakukan bersama-sama polis bagi membawa hasil lebih baik.

Sementara itu, Nur Jazlan turut diminta mengulas beberapa pusat beli belah yang tidak menggunakan imej anjing untuk hiasan premis bagi sambutan Tahun Baru Cina pada 16 Februari nanti.

“Mereka merupakan pemilik tapak pusat beli-belah tersebut, jadi hak merekalah,” katanya ringkas.