Saksi lihat kereta Amri dikepung 3 pacuan 4 roda

image-1
Mohammad Faisol Abdul Rahman sebagai saksi ketika tampil memberi keterangan kepada Suhakam yang menyiasat kehilangan Amri.

KUALA LUMPUR: Siasatan Awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) diberitahu pada malam kehilangan Amri Che Mat, kereta Toyota Fourtuner dinaikinya dikepung 3 pacuan 4 roda (4×4) jenis Toyota Hilux.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi PKR Perlis Mohammad Faisol Abdul Rahman yang juga sukarelawan Perlis Hope ketika memberi keterangan kepada Suhakam berdasarkan maklumat daripada saksi yang melihat kejadian itu kira-kira jam 11.30 malam, 24 November 2016.

“Daripada penemuan dan berdasarkan permerhatian saksi yang kami temui, saya yakin dia (Amri) diambil oleh satu kumpulan terancang dan terlatih yang menerima arahan pihak tertentu.

“Berdasarkan maklum yang diterima team kami, saksi pertama melihat kereta Amri dipintas beberapa buah Hilux dan sebuah motor, saksi juga melihat kereta Amri menekan brek berasap, kemudian Amri diambil begitu lasak. Tiga buah 4×4 mengejar 1 di depan, kanan dan belakang.

“Kemudian kereta itu dibawa ke lokasi terakhir di sekolah terbengkalai di Bukit Cabang dan ditemui jam 12.30 pagi.

“Berdasarkan seorang lagi saksi yang juga pengawal keselamatan melihat ada 2 buah kereta termasuk kereta Amri masuk tergesa-gesa.

“Pada waktu itu pengawal berkenaan tidak berani nak dekati, dalam masa sama sebuah kereta 4×4 pantas keluar dengan laju,” katanya ketika memberi keterangan kepada Suhakam sambil memaklumkan maklumat tersebut diperolehi daripada saksi kejadian.

Menerusi keterangan sama, Faisol turut memaklumkan seorang lagi saksi yang juga anak saudara Amri, Shahrizal Abdul Manan memaklumkan 3 hari sebelum kejadian, dia melihat ada kereta sedang memerhati kawasan rumah Amri.

“Dia nampak kereta orang luar tidak jauh dari rumah Amri, saya tanya kepada ‘along’ (Shahrizal), ‘kamu tidak syak apa-apa?’, dia kata macam pegawai polis, dia sangka pegawai narkotik nak tangkap pengedar dadah,” katanya sambil memaklumkan tidak mengetahui motif intipan sama ada berkait dengan kehilangan Amri atau tidak.

Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai meminta peguam keluarga Amri dan Faisol membawa semua saksi yang terlibat melihat kejadian.

“Saya akan cuba bawa mereka untuk memberi keterangan,” kata Faisol.

Sebelum ini Norhayati berkata saksi ternampak 5 buah kenderaan menghalang laluan kereta Toyota Fortuner milik Amri, sebelum beliau dibawa pergi, kira-kira 550m dari rumah mereka di Bukit Chabang, Perlis.