Zahid: Pusat serantau digital jejak mesej pengganas sudah beroperasi

zahid-terrorist-cyberPUTRAJAYA: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi (CMC) sudah beroperasi sepenuhnya sebulan lalu bagi melaksanakan inisiatif menjejaki dan mengatasi mesej berunsur keganasan, radikalisme atau IS.

Timbalan perdana menteri itu berkata CMC turut bekerjasama dengan agensi bawah Kementerian Luar Negeri serta Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP).

“Semua maklumat akan disalurkan bukan hanya kepada Aseanapol (Polis Asean) tetapi kepada Interpol (Polis Antarabangsa) supaya senarai suspek atau sebarang data yang diperoleh dapat menarik perhatian antarabangsa.

“Setakat ini saya amat berpuas hati dengan perjalanan CMC dan maklumat yang kita peroleh,” katanya pada sidang media bersama-sama Datuk Nur Jazlan Mohamed selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Rela Malaysia hari ini.

Mengulas lanjut, Zahid berkata, Malaysia mempunyai kepakaran mencukupi mengendalikan CMC dan sejak penubuhan pusat itu, sudah terdapat kejayaan tetapi tidak boleh didedahkan sekarang.

“Sebelum CMC beroperasi sepenuhnya kita sudah memantau melalui sistem sedia ada dan kita perkuatkan apabila CMC beroperasi,” katanya.

Beliau berkata penubuhan CMC memakan belanja kurang daripada RM200 juta.