Badan pengguna gesa jangan tandatangan TPP yang disemak semula

SM-Mohamed-Idris-tppa-1PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa kerajaan tidak menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP), mengatakan ia akan memberi impak negatif kepada ekonomi dan membawa faedah sangat sedikit kepada rakyat.

Sambil menegaskan kesan buruk perjanjian itu, CAP berkata perjanjian baharu yang dikenali sebagai Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans Pasifik (CPTPP) akan membawa kesan lebih buruk.

Ini kerana langsung tiada faedah menjual lebih banyak eksport ke Amerika Syarikat (AS), kata Presiden CAP SM Mohamed Idris.

Beliau berkata sedemikian berikutan keputusan AS menarik diri daripada perkongsian perdagangan asal itu Januari lepas.

Perjanjian baharu akan ditandatangan pada Mac oleh 11 negara lain termasuk Malaysia.

Idris berkata ia bukan langkah bijak untuk kerajaan menandatangan perjanjian yang akan mewajibkan Malaysia terikat dengan tanggungjawab mengubah dasar sosio ekonomi yang akan memberi kesan buruk kepada rakyat.

“Setakat ini kerajaan tidak menjelaskan dengan lebih lengkap kenapa ia memilih untuk mengambil langkah tidak rasional ini,” katanya, sambil menambah rakyat masih tidak mengetahui mengenai rundingan dan perjanjian terbaru ini.

Idris juga berkata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Seri Mustapa Mohamed berjanji setahun lepas pihak berkepentingan akan dirunding untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas berhubung perkembangan terbaru TPP dan masa depannya.

“Kami sudah menunggu selama setahun dan rundingan CPTPP sudah pun dimuktamadkan dan tiada seorang pun dirunding mengenainya.

“Kami tidak maklum tentang satu pun rundingan dengan orang awam atau rundingan sistematik dengan sektor swasta yang bakal terjejas oleh keputusan sedemikian. Mustapa memungkiri janjinya kepada orang ramai,” katanya.

Beliau juga berkata, teks TPP yang asal sudah diterbitkan sebelum ditandangan, jadi sepatutnya teks CPTPP harus diterbitkan serta-merta supaya orang ramai dapat melihat apa yang negara persetujui.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap peruntukan dalam TPP yang beliau sifatkan seperti memberikan AS peluang untuk menikmati manfaat tanpa menyerahkan apa-apa.

Sambil memetik contoh tarif rendah eksport Malaysia kepada AS, beliau berkata Malaysia melalui CPTPP perlu menanggung kos TPP tanpa manfaat utama iaitu peningkatan eskport ke AS.

“Sudahkan kerajaan Malaysia melakukan analisis manfaat kos baharu CPTPP dan apakah hasilnya?