Saksi kes kehilangan Amri dakwa salinan laporan polis ‘tidak sama’.

Yousri-KhalidKUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan yang tampil sebagai saksi dalam siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) ke atas kehilangan aktivis Amri Che Mat berkata salinan laporan polis yang dibuatnya pada 2016 tidak sama dan kehilangan banyak butiran.

Yousri Khalid, 48, seorang pegawal keselamatan di satu tapak projek di Bukit Cabang, Perlis di mana Amri didakwa diculik pada 2016, mendakwa banyak perkara dalam laporan polis asal di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar tiada dalam salinan yang diserahkan kepada Suhakam hari ini.

Beliau berkata laporan polis asal yang dibuat pada 25 November 2016 diberikan pada majikan tetapi majikannya tersalah letak laporan itu. Beliau kemudian membeli salinan lain daripada polis beberapa hari sebelum menghadiri inkuiri Suhakam.

Yousri berkata butiran yang dimaksudkan ialah warna trak pikap yang digunakan dalam dakwaan penculikan Amri, jumlah cermin Toyota Fortuner milik Amri yang dipecahkan, dan nama pengawal-pengawal keselamatan lain semasa laporan dibuat.

“Semasa saya buat laporan itu, saya ada masukkan nama Mohamad Amin Ismail dengan Mohd Ridzuan Che Ani. Malam itu, saya buat laporan nama itu ada, kemudian tidak ada,” kata Yousri.

“Laporan asal yang mereka berikan pada saya tidak sama dengan laporan yang saya beli.”

Pemerhati polis, R Munusamy, bagaimanapun menuduh Yousri berbohong.

“Apa yang kamu nyatakan berkaitan kandungan report ini adalah palsu. Ini kerana apabila laporan sudah dibuat, dan telah diserahkan, laporan itu tidak boleh diubah. Setuju dengan saya yang kamu berbohong?”

Yousri, yang nampak keliru dengan soalan itu, nafi berbohong.

Pesuruhjaya Suhakam Datuk Mah Weng Kwai kemudian menjelaskan kepada Yousri bahawa soalan itu bukan bertanyakan sama ada Yousri berbohong tetapi sama ada butiran dalam laporan polis itu palsu, dan oleh itu satu pembohongan.

Yousri menjawab salinan laporan yang ada bersama tidak lengkap.

Munusamy bertanya pada Yousri sama ada beliau ada menandatangani sebarang dokumen selepas memberikan keterangan kepada polis.

“Tidak,” jawab Yousri.

Munusamy kemudian menunjukkan keterangan Yousri yang ditandatangani.

“Kamu kata dia tak ambil tandatangan? Sekarang kamu kata itu tandatangan kamu? Jadi kenyataan tadi tak betul?” kata pemerhati itu.

“Ya. Saya tidak diberi surat ini.” jawab Yousri.

Amri, 44, pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016 lepas.

Isteri Amri, Norhayati Ariffin sebelum ini berkata saksi ternampak 5 buah kenderaan menghalang kenderaan milik suaminya sebelum dibawa pergi, kira-kira 550m daripada rumah mereka ke Bukit Chabang, Perlis.

Selain Amri, Suhakam turut menyiasat kehilangan Paderi Joshua Hilmy dan isterinya Ruth, yang kali terakhir dilihat pada 30 November 2016.

Siasatan Suhakam ke atas Pastor Raymond Koh dihentikan, selepas seorang suspek dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menculiknya.