Dr M abai Rukun Negara, kata Chandra

chandra-muzaffar_rukun-negara_new_600

SHAH ALAM: Chandra Muzaffar berkata Rukun Negara diabaikan dari naratif negara pada 1980-an selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memegang kuasa.

Pengerusi Yayasan 1Malaysia itu berkata mengetepikan Rukun Negara antara kegagalan terbesar negara.

“Dr Mahathir mempunyai satu pemahaman dan tanggapan tentang Islam yang lebih bersifat kapitalis. Dia tidak mahu Rukun Negara diteruskan.

“Tambahan pula, jawatankuasa kecil Rukun Negara dipengerusikan oleh menteri dalam negeri ketika itu, Tun Ghazali Shafie dan persaingan antara Dr Mahathir dan Ghazali diketahui ramai,” katanya.

Chandra bercakap di perbincangan terbuka tentang “Kesederhanaan dan Pentadbiran Islam di Malaysia” di Pusat Konvensyen Ideal hari ini.

Beliau berkata antara sebab ia diabaikan kerana perkembangan kesedaran identiti dalam kalangan orang Melayu di mana selepas itu etos Islamis mula membangun dalam tempoh yang sama.

Chandra berkata bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memainkan peranan mengetepikan Rukun Negara selepas menyertai Umno pada 1982, setahun selepas Dr Mahathir menjadi perdana menteri dan menjadi sebahagian daripada pentadbirannya.

“Dalam tempoh Anwar sebagai menteri dalam kapasiti-kapasiti berbeza, dia tidak memberi perhatian pada Rukun Negara kerana dia ada satu bentuk tanggapan persaudaraan orang Islam yang tidak seiring dengan Rukun Negara,” katanya.

Chandra khuatir tanpa prinsip yang termaktub dalam Rukun Negara itu, negara tidak mungkin berjaya melawan ahli politik yang memperjuangkan “sejenis orde Islamis”.

“Berbanding negara-negara lain, termasuk jiran kita, kita tidak ada kuasa untuk melawannya.

“Ini bukan Indonesia. Pancasila sebahagian daripada perlembagaan mereka. Pemimpin bertukar tetapi tiada seorang pun yang mahu menukar Pancasila kerana dalamnya perasaan rakyat mereka pada Pancasila,” katanya.