NGO: Polis ambil keterangan Siti Hasmah kemenangan buat wanita

siti-hasmah-polis-siasatPETALING JAYA: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) wanita menyifatkan tindakan polis mengambil keterangan Tun Dr Siti Hasmah Ali semalam, kemenangan buat wanita di negara ini kerana suara bekas wanita nombor satu Malaysia itu signifikan.

Semalam, polis mengambil keterangan Siti Hasmah lebih sejam dengan mengemukakan 12 soalan mengenai ucapannya dalam perhimpunan “Wanita Bantah Politik Toksik” di ibu negara, September lalu.

Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis (WOMEN:Girls), Abby Latif berkata, tindakan polis memanggil Siti Hasmah untuk membantu siasatan menunjukkan suara wanita turut mendapat perhatian.

“Saya tidak fikir ia akan menimbulkan sebarang rasa takut dalam wanita untuk bersuara. Dan ia sesuatu yang cukup besar untuk rakyat menuntut penjelasan yang mengesahkan suara kita bermaksud sesuatu.

“Saya terdengar baru-baru ini dalam temubual antara bekas presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan David Letterman yang bersetuju ‘tiada apa yang betul akan berlaku di dunia ini tanpa perjuangan atau sekurang-kurangnya sedikit ketidakselesaan’.”

Wanita berhak sertai perhimpunan, bebas bersuara

Pegawai Komunikasi Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Tan Heang Lee yang mengkritik tindakan polis itu berkata, Siti Hasmah dan semua wanita di negara ini mempunyai hak sebagai rakyat sebuah negara demokrasi, menyertai mana-mana perhimpunan.

“Kami mempunyai hak kebebasan bersuara dan berhimpun. Ini adalah hak asasi dalam sistem demokrasi dan sebagai separuh daripada penduduk (Malaysia), penting untuk wanita bersuara dan didengari,” katanya kepada FMT.

“Kami mengutuk sebarang cubaan mendiamkan dan menakutkan wanita daripada menggunakan hak demokratik mereka, tanpa mengambil kira hubungan politik mereka.”

Beliau bagaimanapun tidak bersetuju dengan Abby kerana tindakan polis menyoal Siti Hasmah hanya akan menghalang wanita bersuara.

“Tindakan sedemikian menghalang wanita bersuara, berhimpun dengan bebas dan turut serta dalam proses demokratik,” katanya.

Pengarah Eksekutif Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower), Angela M Kuga Thas berkata, ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk mempromosi dan melindungi hak wanita berhimpun, khasnya dalam isu membabitkan golongan itu.

“Kerajaan harus melindungi hak wanita untuk berhimpun secara aman dan bersuara menentang seksisme, kebencian terhadap wanita dan kenyataan bersifat kebencian yang banyak berlaku dalam politik Malaysia kebelakangan ini.

“Menyoal Siti Hasmah mencerminkan keadaan komitmen negara yang lemah dalam memperkasakan wanita, terutamanya berkaitan kebebasan bersuara wanita dan khasnya perdana menteri mengisytiharkan tahun ini sebagai Tahun Memperkasakan Wanita.”

Katanya, walaupun ia adalah tanggungjawab polis untuk memastikan keselamatan rakyat, tetapi perhimpunan itu diadakan secara aman.

“Polis melakukan tugas mereka dengan baik dalam melindungi dan mengawal bantahan wanita terhadap politik toksik itu.”

Lebih 1,000 orang termasuk ahli politik dan aktivis hak wanita menyertai perhimpunan “Wanita Bantah Politik Toksik” di Kuala Lumpur, pada 10 September 2017.

Siti Hasmah menerusi ucapannya dalam perhimpunan itu menggesa golongan wanita memainkan peranan untuk menghentikan “politik toksik” di negara ini.

“Wanita mencintai keamanan dan kestabilan supaya mereka dapat melalui kehidupan yang stabil. Bagaimanapun, kita dapat melihat terdapat keganasan terhadap wanita dan melanggar hak kita,” katanya pada September lalu.

Lebih sejam disiasat, Siti Hasmah ditanya 12 soalan