LPF: Filem Bollywood tentang hubungan cinta Hindu-Islam terlalu sensitif

PadmaavatGEORGE TOWN: Filem Bollywood, Padmaavat, diharamkan di Malaysia kerana mengandungi unsur yang dianggap sensitif kepada masyarakat majoriti Islam di sini, kata Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF).

Bagaimanapun, Pengerusi LPF Mohd Zamberi Abdul Aziz berkata pengedar-pengedar filem memfailkan rayuan terhadap pengharaman itu dan akan disemak semula oleh Jawatankuasa Rayuan Filem pada 30 Januari.

“Jalan ceritanya menyentuh sensitiviti Islam. Itu sahaja sudah menjadi kebimbangan besar di Malaysia, sebuah negara dengan majoriti Islam.

“Buat masa ini, LPF tidak dapat memberikan komen selanjutnya kerana pengedar filem sudah menyerahkan rayuan kepada jawatankuasa rayuan.

“Oleh itu, komen selanjutnya hanya akan dikeluarkan selepas jawatankuasa rayuan membuat keputusan,” katanya kepada FMT.

Zamberi berkata jawatankuasa itu akan membuat keputusan pada 30 Januari untuk “mempertahankan atau mengubah” keputusan LPF sebelum ini.

Jawatankuasa Rayuan Filem (JKRF) adalah badan berasingan daripada LPF di mana pengedar atau penerbit boleh merayu terhadap keputusan yang dibuat oleh lembaga itu.

JKRF kebanyakannya terdiri daripada ahli daripada Kementerian Dalam Negeri, yang menyelia LPF.

Terdapat sekurang-kurangnya 20 ahli dan jawatankuasa itu diketuai seorang pengerusi dan naib pengerusi, dilantik oleh menteri dalam negeri.

Jawatankuasa itu dibentuk bawah Akta Penapisan Filem 2002 di mana ahlinya dipilih atas dasar kes demi kes dan tiada keahlian tetap kecuali bagi wakil-wakil seperti ketua polis negera, setiausaha agung kementerian dalam negeri dan kementerian komunikasi dan multimedia, dan juga ketua pengarah pendidikan.

Padmaavat adalah filem Bollywood yang memaparkan hubungan antara seorang permaisuri Hindu dan seorang pemerintah Islam pada zaman pertengahan di India. Ia diharamkan oleh LPF pada Sabtu lalu.

Watak utama filem itu, Padmavati, dibintangi pelakon Bollywood terkenal, Deepika Padukone dan watak Alauddin Khilji pula dilakonkan oleh Ranveer Singh.

Di India, kumpulan Hindu terutamanya di Rajasthan dan Maharashthra, mengkritik pembuat filem tersebut kerana “memutarbelitkan sejarah” dengan menunjukkan pemerintah Islam, Alauddin Khilji, sebagai “kekasih” Padmavati, yang berasal daripada puak pahlawan Rajput.

Selepas “situasi yang sukar dan tidak pernah berlaku” dan beberapa pengubahsuaian, lembaga penapisan India meluluskan filem itu, berdasarkan peristiwa bersejarah di mana Padmavati menjadi permaisuri pada abad ke-14, lapor Reuters.

Lembaga itu meminta nama filem itu ditukar kepada Padmaavat daripada nama eponim Padmavati, bagi mencerminkan bahan itu bersumberkan sebuah sajak epik dengan nama sama dan bukan berdasarkan peristiwa sebenar.

Lembaga itu juga mengarahkan penerbit filem itu meletakkan penafian mengatakan filem itu tidaklah “mendakwa ianya tepat dari segi sejarah”.