Bekas PM Australia bidas kerajaannya taja pameran tudung di Malaysia

Bekas-perdana-menteri-Australia-Tony-Abbott-wanita-hijabPETALING JAYA: Bekas perdana menteri Australia Tony Abbott semalam mengecam kerajaan negara itu kerana terlibat dalam satu pertunjukan fesyen Islam buatan Australia di Malaysia.

Akhbar The Australian memetik Abbott sebagai berkata beliau “kecewa” Jabatan Hal Ehwal dan Perdagangan Asing (DFAT) “menyokong apa yang hanya boleh disifatkan sebagai tafsiran pakaian sopan yang kolot”.

“Pada tahap di mana DFAT sudah terlibat dalam perkara sebegini, ia sepatutnya menyokong hak orang ramai membantah kepercayaan ortodoks yang melemaskan, bukan berasa terpaksa.

“Kini saya rasa ia menunjukkan pengkhianatan terhadap nilai arus utama masyarakat Australia,” katanya dipetik akhbar itu.

Pameran dinamakan “Faith Fashion Fusion” itu dianjurkan Muzium Seni dan Sains Gunaan di Sydney, Australia pada 3 November tahun lalu dan berakhir Sabtu lalu.

Ini adalah kali pertama pameran itu mengadakan jelajah antarabangsa. Pelancarannya di Malaysia diadakan di Kuala Lumpur dengan sokongan Majlis Australia-Asean dan Lend Lease Projects (M) Sdn Bhd.

Abbot memberitahu The Australian, DFAT dibiayai pembayar cukai dan tidak patut menaja pameran itu, sambil menambah, beliau sangat “terkejut” dengan penglibatan jabatan itu.

“Kita mahu rakyat Australia bebas dan terbuka. Kita mahu mereka menunjukkan wajah mereka dan jika mereka mahu menunjukkan sedikit lengan dan kaki mereka dan memakai bikini, kita raikannya, kita tidak rasa bersalah melakukannya,” katanya.

Seorang pereka fesyen yang terlibat dalam pertunjukan itu, Ilham A Ismail, menyambut baik penglibatan kerajaan Australia.

“Australia adalah negara dengan budaya paling pelbagai di dunia, dan jika kita tidak mempromosikan perbezaan masyarakat kita di sini, di mana lagi kita patut tunjukkannya?” katanya dalam laporan itu.