BN yakin mampu rampas Semporna pada PRU14

ramlee-marhaban-shafie-3

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) yakin dengan peluangnya memenangi kerusi parlimen Semporna dan juga kerusi DUN di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Ramlee Marahaban berkata gabungan pemerintah mampu memenangi kerusi di Semporna walaupun pembangkang daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) kelihatan kuat di daerah pantai timur negeri itu.

“Datuk Seri Shafie Apdal adalah ahli parlimen Semporna selama 5 penggal dan juga seorang pemimpin Umno kebangsaan, beliau memang terkenal. Bagaimanapun, politik di Semporna bukanlah semua tentangnya (Shafie).

“Kami tidak takut dengan Shafie kerana kami bersedia menghadapinya dan bersaing secara sengit. Kami tahu kami akan berjaya mempertahankan kesemua 4 kerusi di Semporna,” kata Ramlee kepada FMT.

BN memenangi kerusi parlimen Semporna dan kerusi DUN Sulabayan, Senallang dan Bugaya semasa PRU pada Mei 2013.

Bagaimanapun, ahli parlimen Semporna itu yang juga dahulunya menteri persekutuan, meninggalkan BN dan membentuk Warisan. Adun Sulabayan Datuk Jaujan Sambakong juga menyertai parti pembangkang baharu di negeri itu.

Hanya Senallang dan Bugaya kekal dalam pegangan BN, dengan Adun masing-masing, Datuk Nasir Sakaran dan Ramlee sendiri.

Apabila disoal tentang calon Umno yang bakal bertanding menentang gandingan Warisan itu, Ramlee berkata ianya bergantung kepada pimpinan tertinggi BN.

“Biasanya calon akan dipilih menerusi pimpinan sesuatu bahagian, tetapi mereka juga boleh dipilih dari luar bahagian dan juga dari luar parti, tetapi ia jarang berlaku.

“Siapa pun yang menjadi calon, mereka harus mempunyai kebolehan kepimpinan, reputasi yang terbukti, keterbukaan dan sensitiviti. Mereka harus jujur dan diterima rakyat,” katanya sambil menambah, terdapat ramai calon seperti itu yang boleh ditemui dalam pimpinan bahagian Umno.

Ramlee yang juga timbalan ketua penerangan Umno Sabah, enggan mengulas lanjut semasa disoal jika beliau yang akan bertanding sebagai calon Umno untuk bertanding di kerusi parlimen Semporna.

“Saya tidak boleh berkata seperti saya ada kelebihan dan boleh menjadi calon. Ia bergantng kepada pimpinan BN untuk menentukannya.

“Saya hanya akan lakukan yang terbaik untuk menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan. Sesiapa sahaja calon yang sesuai itu, kita akan terima mereka.”

Pemimpin Umno: Dr M jangan ghairah kritik BN guna angka tak logik

Formula 60:40 hanya drama Warisan, kata Umno Sabah