Najib minta semua hormat keputusan penukaran agama anak Indira

najib-indira-3

KUALA LUMPUR: Semua pihak diminta menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan mengetepikan penukaran agama sebelah pihak membabitkan 3 anak seorang guru tadika, M Indira Gandhi oleh bekas suami yang memeluk Islam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akui keputusan 5 hakim Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira sukar diterima semua pihak.

“Kita sudah ada sistem kehakiman dalam negara kita, kena terima keputusan mahkamah yang tertinggi dalam negara kita.

“Walau apapun, kita hormati keputusan dan saya rasa sangat sukar untuk memuaskan semua pihak tetapi penting untuk kita memastikan kita hormati proses itu,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno hari ini.

Najib juga berkata kerajaan akan mengkaji semula pindaan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau Akta 164 yang sebelum ini dibentang tanpa Fasal 88A. Fasal yang dikeluarkan itu menetapkan agama anak kekal biarpun salah seorang atau kedua-dua ibu bapanya memeluk agama lain.

Ia bertujuan menghalang penukaran agama anak secara sebelah pihak.

“Kami akan lihat perkara itu,” kata Najib ringkas.

Pengkritik sebelum ini berkata fasal itu melanggar Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang menurut mereka bermaksud agama seseorang bawah usia 18 tahun ditentukan oleh ibu atau bapa atau penjaga.

Mahkamah Persekutuan bagaimanapun memutuskan ia harus dibawa sebagai ibu dan bapa.

Keputusan itu semalam mengakhiri pertikaian 9 tahun mengenai hak penjagaan anak antara agama, selepas bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah, menukar agama 3 anak mereka tanpa pengetahuan Indira pada 2009.

Tiga anak Indira ketika itu berusia 11 bulan, 11 tahun dan 12 tahun. Kini, anak sulung Indira, Tevi Darsiny berusia 21 tahun dan anak lelakinya, Karan Dinish berusia 20 tahun, sementara anak perempuan bongsunya berusia 10 tahun. Anak bongsu mereka sekarang bersama Riduan.

Keputusan mahkamah bererti sijil tukar agama mereka terbatal dan tidak sah.

Keputusan mahkamah dibantah para mufti antaranya Mufti Perak dan Pahang. Tan Sri Harussani Zakaria berkata hukum syarak menyatakan jika salah seorang ibu atau bapa beragama Islam, maka anaknya juga seorang Islam.

“Kalau isteri itu Islam, suami tak Islam, maka dapat kepada isteri. Kalau isteri tak Islam, suami Islam, dapat kepada suami. Itu sudah hukum syarak dan dalam agama kita ini, agama yang dipakai ialah agama Islam dan Perlembagaan.

“Jadi, sepatutnya dia (Mahkamah Persekutuan) tak boleh ubah,” katanya ketika dihubungi FMT.

Kes Indira: Mufti Perak, Pahang bantah keputusan mahkamah