AirAsia pilih kru lelaki untuk laluan Aceh selepas dasar tudung

air-asiaPETALING JAYA: AirAsia hanya akan memilih anak kapal lelaki untuk penerbangan ke Aceh, susulan dasar pihak berkuasa tempatan mewajibkan pramugari Islam bertudung selepas mendarat di wilayah itu.

“Kami komited memastikan operasi kami mematuhi peraturan itu. Buat masa ini, semua penerbangan AirAsia dari dan ke Aceh akan dikendalikan anak kapal lelaki,” kata¬†syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam satu kenyataan ringkas.

Semalam, AFP memetik Ketua Daerah Aceh Besar, Mawardy Ali sebagai berkata, Aceh terpaksa melaksanakan penguatkuasaan kerana ada pramugari yang enggan mematuhi peraturan baharu itu ketika berada di wilayah berkenaan, walaupun untuk waktu singkat.

Katanya, pihaknya akan mengedarkan maklumat mengenai peraturan baharu itu dan menemui beberapa syarikat penerbangan terjejas minggu ini.

Beliau berkata, pramugari Islam yang gagal mematuhi peraturan itu akan diberikan teguran dan polis syariah akan menahan mereka yang mengulangi kesalahan itu.

Media tempatan melaporkan surat sudah dihantar kepada 8 syarikat penerbangan – Garuda Indonesia, Lion Air, Batik Air, Citilink, Sriwijaya Air, Wings Air, AirAsia dan Firefly yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda, Blang Bintang bagi memaklumkan penguatkuasaan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Ignatius Ong dipetik The Star berkata, syarikat penerbangan tambang rendah itu mungkin menugaskan pramugara atau pramugari bukan Islam untuk laluan itu, serta mengenakan lapisan tambahan ke atas baju seragam sedia ada.

“Kami masih menilai keadaan itu. Jadi, belum ada keputusan konkrit dibuat.”

AirAsia dan Firefly adalah 2 syarikat penerbangan utama asing yang terbang ke Banda Aceh dan Aceh ialah satu-satunya wilayah di Indonesia yang melaksanakan undang-undang syariah.