Suaram: Polis cekap tahan pengganas, tetapi tak peduli rakyat hilang

kua-kia-soon-fuzi-1PETALING JAYA: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) membidas polis sangat cekap menangkap “pengganas antarabangsa”, tetapi tidak mempedulikan kehilangan rakyat bawahan.

“Semalam, kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang bekas suami M Indira Gandhi dipercayai masih berada di negara ini, tetapi pihak berkuasa tidak tahu di mana dia berada, adalah contoh menghairankan mengenai kecekapan terpilih polis Malaysia,” kata Penasihat Suaram, Dr Kua Kia Soong dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk kenyataan Fuzi mengenai loasi Muhammad Riduan Abdullah, bekas suami Indira yang gagal menyerahkan anak bongsu mereka kepada guru tadika itu.

Kelmarin, Fuzi dilaporkan berkata, usaha mengesan dan menahan Riduan, 47, yang sebelum ini dikenali sebagai K Pathmanathan, masih berterusan sejak 2014 berdasarkan waran pengkomitan dikeluarkan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 30 Mei 2014.

“Kita tiada petunjuk…saya memberi arahan spesifik kepada semua elemen pasukan polis terutamanya Jabatan Siasatan Jenayah untuk mengesan lelaki berkenaan.

“Saya juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil berikan kerjasama,” katanya.

Kelmarin, Mahkamah Persekutuan mengetepikan penukaran sebelah pihak melibatkan 3 anak Indira, selepas memutuskan sebarang penukaran agama kanak-kanak bukan Islam harus mendapatkan persetujuan kedua ibu bapa.

Seorang daripada 5 panel hakim mahkamah itu, Tan Sri Zainun Ali berkata, sijil penukaran agama 3 kanak-kanak itu tidak sah kerana dikeluarkan tanpa persetujuan Indira dan melanggar Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 5 dan 11 Akta Penjagaan Budak 1961.

Kua juga mempertikaikan cara polis mengendalikan kes kehilangan Pastor Raymond Koh dan beberapa aktivis lain.

Semasa siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam kes kehilangan Koh baru-baru ini, pesuruhjaya Suhakam dan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mah Weng Kwai meminta ASP Supari Muhammad, pegawai penyiasat yang bertanggungjawab dalam kes penculikan itu, menjawab sama ada Koh meninggalkan negara ini atau masih hidup.

Supari bagaimanapun berkata, beliau tidak tahu.

Koh, 63, diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100m dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Feb lalu, semasa beliau memandu sebuah kereta jenis Honda Accord bernombor plat ST 5515 D.

Seorang lagi aktivis berusia 44 tahun, Amri Che Mat yang juga pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016.

Isterinya, Norhayati Ariffin berkata, saksi ternampak 5 kenderaan menghalang laluan kereta Amri sebelum beliau dibawa pergi, kira-kira 550m dari rumah mereka ke Bukit Chabang, Perlis.

Manakala Pastor Joshua dan isterinya, Ruth kali terakhir dilihat pada 30 November 2016.

Kua berkata, penemuan mengejutkan kubur beramai-ramai milik pendatang asing di sempadan Malaysia-Thailand pada Mei 2015 juga menimbulkan persoalan tentang keutamaan dan keberkesanan polis Malaysia.

“Bagaimana polis Malaysia tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pemerdagangan manusia ini yang beroperasi tanpa hukuman selama bertahun-tahun? Lebih penting lagi, siapa yang ditahan polis berhubung jenayah kejam itu sejak 2015?”

Kua berharap KPN dan kerajaan dapat memberi jaminan bahawa kelalaian profesionalisme polis Malaysia tidak akan berlaku lagi.

“Kami mahu melihat keamanan, keselamatan dan kepercayaan antara polis dan rakyat, bukan bukti ketidakcekapan seperti dalam kes yang disebutkan di atas,” katanya.

Polis percaya bekas suami Indira masih di Malaysia

Mahkamah putuskan penukaran agama anak Indira tak sah

Suhakam: Polis tidak arah henti inkuiri kehilangan Pastor Koh