Dr M: Lebih ramai ‘Iron Lady’ dalam kerajaan PH nanti

mahathirPETALING JAYA: Calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) berkata kerajaannya akan melibatkan lebih ramai wanita terpelajar dan dengan mempunyai daya kepimpinan yang tinggi di kedudukan-kedudukan yang penting untuk bersama mentadbir dan menentukan hala tuju negara.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pentadbiran BN sekarang hanya mensia-siakan ramai bakat-bakat yang berpotensi menjadi “Iron Lady” seperti bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Tan Sri Rafidah Aziz.

“Kalaupun kita ada menteri wanita, mereka diberi tugas yang tidak begitu penting. Kita dapati mereka dipertanggungjawabkan untuk masalah kecil…tidak berkenaan ekonomi negara, pertumbuhan ekonomi, pertumbuhan perdagangan, seperti yang kita lihat menjadi tanggungjawab Rafidah Aziz.

“Ini bermakna pandangan kerajaan terhadap wanita agak merosot dari segi kebolehan dan kepercayaan mereka,” katanya di sesi sembang dasar bertajuk “Golongan Wanita” di Facebook malam tadi.

Semalam, Dr Mahathir mempromosikan sesi polisi untuk wanita malam ini dengan mengumumkan zaman pembangkang hanya membangkang sudah tamat, dan mengajak pengikutnya berkongsi cadangan di Facebook beliau.

Bekas perdana menteri itu malam ini berkata mustahil wanita Malaysia tidak boleh diberikan tanggungjawab melakukan kerja kompleks memandangkan golongan wanita membentuk lulusan universiti teramai sekarang ini.

“Kalau kerajaan ini tumbang dan PH ambil alih kita akan beri tumpuan kepada peranan wanita dalam kerajaan, kerana seperti yang saya sebutkan, separuh dari rakyat terdiri wanita.

“Kalau kita ketepikan mereka, kita kekurangan separuh tenaga manusia yang ada,” katanya.

Oleh itu, Dr Mahathir tidak bersetuju sasaran penyertaan wanita dalam kerajaan ditetapkan pada 30%, seperti yang diajukan oleh kerajaan dan pembangkang sebelum ini.

Sebaliknya, beliau mahu penyertaan wanita diangkat melebihi paras itu tanpa mengorbankan kualiti calon.

“Kita tidak hadkan diri kita kepada 30%, kalau boleh lebih dari 30% tetapi untuk isi jawatan-jawatan, kita tentulah memberi pertimbangan sewarasnya kepada wanita dan kebolehan mereka.

“Saya yakin di masa hadapan apabila PH memerintah, jumlah wanita yang memainkan peranan dalam bidang-bidang dan terpaksa buat keputusan tinggi, saya yakin akan meningkat. Mungkin tidak sekaligus, mungkin lebih dari 30%,” katanya.

Dalam pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekarang, terdapat 3 orang menteri persekutuan wanita, iaitu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri dan Datuk Seri Azalina Othman Said.

Selain mereka terdapat 5 timbalan menteri persekutuan wanita, iaitu Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (Kerja Raya), Datuk Azizah Mohd Dun (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Datuk Halimah Mohd Sadique (Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Datuk Yap Kain Ching (Pendidikan Tinggi) dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Pelancongan dan Kebudayaan).

Galak usahawan internet

Di samping itu, Dr Mahathir berkata kerajaannya melihat dunia maya sebagai medan perniagaan yang sesuai diceburi wanita.

Beliau berkata perniagaan dalam talian pilihan yang baik terutamanya buat suri rumah yang mahu membantu ekonomi diri dan keluarga.

“Yang baik tentang ‘online’ ini adalah mereka tidak perlu ada kedai atau kemudahan besar, hanya dengan membuat kuih, masakan yang tahan lama, masukkan dalam bekas plastik yang baik dan boleh menjual melalui ‘online’.

“Saya sedar bahawa ada yang pandai buat nasi lemak dan jual nasi lemak di tepi jalan. Yelah kita, bolehlah cari makan sedikit tetapi apa juga jenis perniagaan yang kita lakukan, kita perlu tingkatkan kemajuannya,” katanya.

Beliau menambah, wanita lebih terkesan dengan kenaikan kos sara hidup memandangkan mereka lebih banyak melibatkan diri dalam membeli barangan keperluan keluarga.

“Dalam keluarga miskin wanita sebagai ibu dan isteri banyak bertanggungjawab tentang pengurusan rumah tangga, merekalah yang banyak terlibat dengan pembelian makanan, penyediaan makanan dan lain-lain.

“Mereka inilah yang merasai tekanan kos sara hidup tinggi, sebab itu mereka lebih tahu keadaan kos sara hidup lebih dari suami mereka ataupun lelaki,” katanya.