PETALING JAYA: Seorang peguam syariah bersetuju dengan kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah bahawa kewujudan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak sah dari segi Perlembagaan Persekutuan.
“Senarai Persekutuan menyebutkan kuasa pengawalan undang-undang Islam bagi tujuan undang-undang persekutuan. Malah, ia kelihatan Jakim berfungsi di luar bidang kuasanya,” kata Nizam Bashir yang juga peguam perlembagaan, kepada FMT.
Razaleigh, atau Ku Li, dalam wawancara bersama FMT baru-baru ini berkata Jakim merupakan salah satu usaha Umno untuk bersaing dengan PAS dalam soal Islam.
Ku Li yang berkhidmat sebagai menteri kewangan di bawah pentadbiran bekas perdana menteri, Tun Razak Hussein dan Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Jakim dibentuk sebagai sebahagian dasar penerapan nilai Islam yang dimulakan Dr Mahathir selepas meneraju kerajaan pada 1981.
“Apabila beliau berkuasa, beliau melihat PAS sebagai satu ancaman. Oleh itu, beliau meneruskan program Islamnya, menubuhkan Jakim misalnya.”
“Jakim tidak berperlembagaan,” kata ahli parlimen Gua Musang itu.
Jakim diumumkan secara rasmi pada 1997, dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Antara lain, ia turut menguruskan pensijilan halal, industri yang dipercayai bernilai berbilion dolar.
Nizam berkata cara Jakim ditubuhkan melalui tindakan eksekutif mungkin tidak betul, sambil menambah ia sepatutnya ditubuhkan melalui undang-undang yang menjelaskan bidang kuasanya.
“Lebih sukar apabila tiada undang-undang membimbing jabatan itu sama ada ia bertindak dalam bidang kuasa atau sebaliknya,” katanya.
Menurut Nizam, kelihatan seolah-olah tidak banyak pertimbangan dilakukan sebelum Jakim ditubuhkan.
Beliau menegaskan hal ehwal Islam adalah di bawah kawalan negeri, dan enakmen agama setiap negeri sudah pun meletakkan sempadan yang jelas.
“Jika anda melihat pentadbiran enakmen Islam di negeri-negeri, anda boleh melihat sudah ada usaha mengenal pasti siapa yang bertanggungjawab.
“Terdapat kuasa pegawai penguatkuasa agama, hakim mahkamah tinggi syariah, hakim syariah, kadi dan mufti yang menunjukkan sempadan jelas sejauh mana kuasa mereka.”
Nizam berkata pengaturan di Malaysia sekarang adalah “pelik” kerana walaupun Islam adalah urusan negeri, sebuah badan penyelarasan persekutuan wujud untuk memastikan agensi Islam negeri masing-masing menuju ke sesuatu arah.
“Kita perlu melihat apa yang dilakukan Jakim dan melihat sama ada ia melampaui batas bidang kuasanya berkaitan dengan perlembagaan.”
Ku Li bukan orang pertama mempersoalkan status Jakim, jabatan kerajaan yang kerap menerima tuduhan mempromosikan Islam yang terlalu konservatif.
Pengkritik juga sering mempersoalkan peruntukan tahunan kepada Jakim, yang kini mencapai RM1 bilion setiap setahun.
Antara yang pernah mengkritik Jakim termasuk Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, yang pada 2015 mempersoalkan peruntukan bajet besar untuk Jakim.
“Kami adalah ketua agama Islam di negeri masing-masing. Jakim boleh memberi nasihat atau mencadangkan garis panduan, tetapi terpulang kepada kita sama ada menerima atau tidak,” katanya.
Tahun lalu, Jakim dikecam Sultan Johor, selepas pegawainya, Zamihan Mat Zin mengkritik arahan istana menutup kedai dobi mesra Islam di negeri itu.