
GEORGE TOWN: Kampung Tong Hai di Nibong Tebal yang biasanya tenang, hari ini dalam kesedihan apabila ratusan orang hadir memberi penghormatan terakhir kepada M Vasanthapiriya, 13, yang meninggal dunia semalam.
Air mata yang mengalir tidak mampu menyejukkan cuaca panas terik tengah hari tadi, mahupun menenangkan emosi mereka.
Sesetengah penduduk kampung mengeluarkan paip getah untuk menyiram jalan dilalui sekumpulan lelaki tidak berkasut yang mengusung keranda remaja itu.
“Dia gadis paling baik dan sentiasa menyapa ‘hello pakcik dan makcik’,” kata satu pasangan Cina yang teringatkan Vasanthapiriya dengan caranya setiap kali beliau pulang dari sekolah.
“Saya sangat terkejut. Dia seorang gadis yang baik, kami lihat dia membesar,” kata seorang lelaki berusia 60-an itu.

Di ruang tamu rumahnya, keranda Vasanthapiriya dipenuhi bunga dan patung beruang kegemarannya yang diletakkan di hujung kaki, bersama barang hiasan lain dari biliknya.
Bapa dan ibu saudaranya turut meletakkan pakaian serta wang tunai untuk “kegunaan akhiratnya”.
Kira-kira 30 rakan sekelas Vasanthapiriya menangis ketika mereka berdiri di tepi kerandanya kerana tidak percaya dengan pemergiannya.
“Dia meninggalkan saya…mengapa dia meninggalkan saya? Apa salahnya?”
Ketika jenazah remaja itu bersedia diarak ke Tanah Perkuburan Hindu Changkat, ibu dan kakak Vasanthapiriya bersama saudara mara hampir histeria.

Kereta jenazah berhenti di depan SMK Methodist, tidak jauh dari rumahnya.
Vasanthapiriya ialah pelajar tingkatan 2 sekolah itu.
Pada 17 Januari lalu, seorang guru berusia 40-an mendakwa Vasanthapiriya mencuri telefon iPhone 6 miliknya.
Guru itu didakwa mengurung Vasanthapiriya di pejabatnya dan mengugut akan membuat laporan polis jika beliau tidak mengaku mencuri.
Vasanthapiriya kemudiannya dikurung dalam sebuah bilik hampir 5 jam, tanpa makanan atau dibenarkan ke tandas.
Guru itu dan suaminya kemudian menghantar gadis itu balik ke rumah dan menemui ibu bapanya, ketika itu juga Vasanthapiriya menggantung dirinya dengan selendang dalam biliknya.
Beliau kemudiannya meninggalkan satu nota yang berkata: “Saya tidak curi telefon cikgu.”
Vasanthapiriya dikejarkan ke hospital dan bergantung kepada alat pernafasan hampir seminggu, sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 3.30 pagi semalam.
Lebih seminggu Muniandy Ratnam tidak mendengar suara anak perempuannya dan beliau tidak sempat lagi berbuat demikian kerana anaknya kini dikebumikan bersebelahan bapanya yang rapat dengan cucunya itu.
“Appa (ayah), dia akan bersama anda,” katanya.