Usim tubuh akademi khusus kaji LGBT untuk ‘beri kesedaran’

usim-lgbtPETALING JAYA: Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) di Nilai kini menubuhkan akademi khusus di bawah salah satu institutnya untuk mengkaji golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Perkara itu disahkan kepada FMT oleh Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (Infad), yang memberitahu ia menerima peruntukan daripada pihak universiti di samping Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Akademi itu akan diketuai Dr Rafidah Hanim Mokhtar, yang juga pensyarah di Fakulti Perubatan dan Kesihatan Usim.

Rafidah juga mengetuai badan yang baru-baru ini memperjuangkan hak pekerja hotel bertudung, Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq).

Pengarah Infad, Dr Irwan Mohd Subri, berkata akademi kajian LGBT itu ditubuhkan pertengahan Januari lalu, selepas mengambil kira apa yang didakwanya peningkatan golongan itu.

“Kita tahu isu LGBT ini isu sosial, dari segi hukum hakam jelas tidak dibenarkan dalam Islam. Kemudian dari segi undang-undang jenayah syariah pun tak boleh.

“Tetapi golongan ini dari hari ke hari dia makin bertambah, makin kuat, makin mendapat sokongan malahan dalam kalangan masyarakat pun dah boleh terima,” kata Irwan.

Menurutnya, antara tujuan akademi itu ialah mencari penyelesaian menangani LGBT.

“Mereka bukan golongan musuh atau golongan yang kita perlu jauhi, bahkan kita mengambil pendekatan nak dekati mereka, nak santuni mereka,” katanya.

Menurutnya, akademi itu juga akan mengkaji golongan LGBT dan kaitan mereka dengan HIV dan AIDS.

“Kita ada kaitkan sedikit dengan perspektif Islam, macam pengetahuan mereka terhadap hukum transgender dan sebagainya. Jadi kita gabungkan 2 kepakaran syariah ataupun pengajian Islam ini dengan kesihatan,” tegasnya.

Menurut Irwan, lebih 100 orang dari golongan LGBT dari sebuah kumpulan bernama Persatuan Insaf Pahang akan turut terlibat dengan kajian itu.

Irwan berkata pihaknya tidak mahu menakut-nakutkan golongan LGBT dan hanya mahu “menyantuni” mereka.

“Mungkin selama ini kita anggap mak nyah ini sekadar berpakaian wanita atau kita panggil berperwatakan lembut. Tetapi sebenarnya isu yang lebih besar daripada itu, kebanyakan daripada mereka ini terlibat sebagai pekerja seks,” katanya.

Menurutnya, ramai tercicir dalam pelacuran disebabkan mereka tidak menerima pendidikan.

“Jadi antara cara mudah dapat duit ialah masuk lorong, jual diri. Itu yang terlibat dengan HIV. Kita nak bagi kesedaran dekat mereka ini dari segi kesihatan dan perlahan-lahan kita masuk dengan ilmu agama,” katanya.