
PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempertahankan penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di bawah pemerintahannya dengan berkata, ia bertujuan mendekatkan kerajaan kepada ajaran Islam.
Bekas perdana menteri itu menafikan dakwaan Tengku Razaleigh Hamzah yang Jakim dijadikan alat untuk mengurangkan pengaruh PAS ke atas umat Islam.
“Kita tidak ukur Islam mengikut PAS, kita ukur Islam mengikut ajaran Islam.
“Kita buat ini bukan kerana PAS, kita buat kerana kita nak dekatkan kerajaan dengan ajaran Islam supaya apa yang kita lakukan (dalam pentadbiran) tidak bercanggah dengan Islam,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.
Razaleigh dalam wawancara bersama FMT baru-baru ini berkata, Jakim merupakan salah satu usaha Umno untuk bersaing dengan PAS dalam soal Islam.
Ku Li yang berkhidmat sebagai menteri kewangan di bawah pentadbiran bekas perdana menteri, Tun Razak Hussein dan Dr Mahathir, berkata Jakim dibentuk sebagai sebahagian dasar penerapan nilai Islam yang dimulakan Dr Mahathir selepas menerajui kerajaan pada 1981.
“Apabila beliau berkuasa, beliau melihat PAS sebagai satu ancaman. Oleh itu, beliau meneruskan program Islamnya, menubuhkan Jakim misalnya.”
“Jakim tidak berperlembagaan,” katanya.
Jakim diumumkan secara rasmi pada 1997, dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Antara lain, ia turut menguruskan pensijilan halal, industri yang dipercayai bernilai berbilion dolar.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, jika dipersetujui 4 parti komponen PH, mereka akan mengekalkan Jakim, sekiranya gabungan pembangkang itu berjaya merampas Putrajaya.
“Itu terpulang kepada kita (untuk kekalkan Jakim) jika kita jadi kerajaan nanti, tidak ada perkara yang kekal,” katanya.