Lambang anjing Tahun Baru Cina tak perlu jadi isu, kata Jakim

othman-mustaphaPETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata lambang anjing, babi dan haiwan lain dalam kalendar lunar Cina tidak perlu dijadikan isu, selaras dengan konsep “fiqh ta’ayush” atau kebersamaan dalam masyarakat majmuk.

Ketua Pengarah Tan Sri Othman Mustapha berkata walaupun Tahun Baru Cina menggunakan haiwan sebagai perlambangan, semua pihak perlu menghormati perkara itu dan “sentiasa mengekalkan keharmonian antara kaum”.

“Ini selaras dengan pendekatan wasatiyyah dalam Islam yang telah menjadi dasar kerajaan,” kata Othman dalam kenyataan di Facebook hari ini.

“Semangat kebersamaan dalam perkara ini perlu difahami secara bijaksana dan berhikmah oleh semua pihak demi mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.”

Fiqh ta’ayush ialah cabang perundangan Islam yang menangani cabaran umat Islam yang hidup dalam konteks negara yang mempunyai kepelbagaian agama dan budaya.

Kalendar lunar Cina mempunyai 12 simbol haiwan termasuk anjing dan babi, di mana setiap satu akan ditetapkan pada tahun-tahun tertentu dalam kitaran 12 tahun. Tahun Cina kali ini, yang permulaannya akan dirai pada 16 Februari ini, merupakan tahun anjing.

Dalam satu laporan Reuters, Pavilion Kuala Lumpur berkata sensitiviti agama dan budaya menjadi faktor penentu dalam konsep perhiasan mereka yang tidak memaparkan imej anjing.

Pada Oktober 2016, Jakim mengarahkan syarikat makanan francais Auntie Anne’s untuk mengubah menu “pretzel dog” kepada “pretzel sosej”, kerana “dog” membawa maksud anjing dalam Bahasa Inggeris.

Awal Januari lalu, langkah pasaraya Giant menjual baju kemeja T zodiak Cina menjadi perbualan warga Internet kerana ia menggantikan imej anjing dan babi dengan aksara.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata kerajaan tiada masalah dengan pemaparan imej anjing sebagai hiasan di pusat membeli belah sempena Tahun Baru Cina.

“Ia merupakan tapak mereka, jadi itu hak merekalah,” kata Nur Jazlan ringkas.

 

Pig, dog missing from CNY zodiac T-shirt sold at popular hypermart