40 pengetua lawat HKL, tinjau sesi Sekolah Dalam Hospital

Siti-Sarimah-Shaik-Abdul-Rahman_seolah_hospital_600

KUALA LUMPUR: Seramai 40 pengetua sekolah menengah hari ini meninjau sesi pembelajaran Sekolah Dalam Hospital (SDH) bagi menyelami sesi pendidikan di luar bilik darjah bagi pelajar yang sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sesi SDH itu menjadi objektif utama program Kembara Amal Majlis Pengetua Sekolah Menengah Malaysia Kuala Lumpur di HKL.

Yang Dipertuanya, Siti Sarimah Shaik Abdul Rahman berkata para pengetua berkenaan dapat memahami lebih dekat cara pembelajaran pelajar yang sedang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Beliau berkata lawatan itu penting bagi melihat perkembangan pelajar yang tercicir pelajaran di dalam bilik darjah disebabkan masalah kesihatan.

“Dengan melihat sendiri cara pembelajaran di sini, ia mampu membantu pengurusan sekolah memberi perhatian dan menyediakan silibus pembelajaran buat golongan pelajar seperti ini sekembalinya mereka ke alam persekolahan selepas ketinggalan berbanding rakan seusia ,” katanya kepada Bernama hari ini.

Program yang mendapat kerjasama HKL dan badan bukan kerajaan Briged Bakti Malaysia (BBM) itu juga menyaksikan wakil pengetua menyerahkan sumbangan berupa bahan bacaan kepada perpustakaan hospital.

Siti Sarimah berkata, konsep pembelajaran SDH lebih kepada ‘pendidikan-hiburan’ bersesuaian dengan keadaan kesihatan pelajar di situ yang rata-rata memerlukan tempoh rawatan rapi dalam jangka masa agak panjang.

“Konsep itu cukup sesuai kerana tidak membebankan pelajar dan pada masa sama membantu mereka lebih aktif dan tidak terus meninggalkan sesi pembelajaran,” katanya.

Bagi Setiausaha BBM Wilayah Persekutuan, Mohd Zulfekar Gohar Rahaman, program hari ini membuktikan keprihatinan guru-guru dalam membentuk anak bangsa.

“Atas semangat itu, kami tidak menolak untuk bekerjasama dengan Majlis Pengetua Sekolah Menengah Malaysia Kuala Lumpur bagi menjayakan program ini malah BBM sendiri memang kerap melakukan kerja amal dan sukarelawan di seluruh negara,” katanya.

Mohd Zulfekar berkata jumlah aHLI BBM di seluruh negara setakat hari ini adalah kira-kira 280,000 orang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.