PKR saman SKMM, syarikat atas kebocoran data 46 juta pengguna telefon

Fahmi-Fadzil
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil (kiri) menunjukkan writ saman berhubung kebocoran data dengan ditemani peguamnya, Syahredzan Johan.

KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil memfailkan tuntutan sivil terhadap 2 pihak atas kebocoran data peribadi 46.2 juta pengguna telefon mudah alih di Malaysia.

Dua pihak tersebut adalah Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia Malaysia (SKMM) serta Nuemara (M) Sdn Bhd, syarikat menguruskan Perkhidmatan Sekat Telefon Bimbit Awam (PCBS).

“Tuntutan sivil itu kerana kegagalan memberi jaminan keselamatan maklumat peribadi pengguna telefon mudah alih.

“Ia melibatkan 42 juta pengguna. Ia melibatkan hampir semua rakyat dan warga asing yang tinggal di Malaysia,” katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri peguam, Syahredzan Johan hari ini.

Fahmi berkata, maklumat bocor itu mengandungi alamat pengguna, nombor kad pengenalan, tarikh lahir dan maklumat peribadi lain.

Katanya, kejadian itu berlaku pada 2014, tetapi tiada siapa yang dipertanggungjawabkan atau ditahan atas kebocoran itu.

“Walaupun ia adalah kebocoran data berskala besar, kita belum dimaklumkan mengapa dan bagaimana kebocoran itu berlaku, atau langkah yang diambil. Saya harap tuntutan sivil ini akan membangkitkan persoalan ini dan kita akan dapat jawapan.”

Fahmi berkata, di negara membangun lain, individu bertanggungjawab akan letak jawatan.

“Jika terbukti syarikat bertanggungjawab gagal menjamin keselamatan pengguna, kontrak mereka sepatutnya ditamatkan.”

Sementara itu, Syahredzan berkata, kes itu berdasarkan hilang kepercayaan kerana gagal menjamin keselamatan peribadi pengguna telefon mudah alih.

“Kami ingin tahu langkah yang diambil sebelum ini, semasa dan selepas kebocoran itu.”

SKMM berkata, mereka sedang menyiasat kes itu.

Kebocoran data itu pada mulanya didedahkan laman forum teknologi Lowyat.net yang memaklumkan seseorang cuba menjual pangkalan data besar mengandungi maklumat peribadi untuk Bitcoin yang tidak diketahui jumlahnya di forum mereka.

Individu itu cuba menjual maklumat peribadi pelanggan daripada sekurang-kurangnya 12 pengendali mudah alih di Malaysia.

Maklumat peribadi daripada pelbagai sektor awam dan laman web komersial di Malaysia turut dicuri.

Kebocoran data 46.2 juta pengguna adalah data 2014