GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang mendesak pejabat pendakwaraya mengadakan inkues ke atas cubaan membunuh diri dan kematian seorang pelajar tingkatan 2, M Vasanthapiriya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang SAC Zainol Samah berkata pihaknya menyerahkan 3 kertas siasatan kepada pendakwaraya baru-baru ini.
“Inkues yang dicadangkan itu selaras dengan keprihatinan yang orang ramai tunjukkan terhadap kes ini.
“Bagaimanapun, pihak pendakwaraya mengarahkan siasatan lanjut ke atas kes ini.
“Setakat ini mereka belum memberikan jawapan kepada cadangan inkues,” katanya pada sidang media hari ini.
Zainol menambah 3 kertas siasatan ke atas Vasanthapiriya termasuk cubaan membunuh diri, laporan kematian mengejut, dan laporan polis oleh seorang penulis blog mendakwa ada pihak membuat laporan palsu tentang kes itu.
“Pejabat pendakwaraya mahu kita mengambil lebih banyak keterangan sebelum membuat keputusan,” katanya.
Zainol menjelaskan kertas siasatan pertama ke atas cubaan membunuh diri di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan digugurkan berikutan kematiannya, manakala kertas siasatan kedua pula tentang kematiannya.
Beliau berkata kertas siasatan ketiga ialah laporan terhadap fitnah terhadap guru terbabit oleh seorang “orang India yang tidak dikenali”.
Vasanthapiriya cuba membunuh diri pada 24 Januari selepas dituduh mencuri telefon bimbit gurunya.
Dia diselamatkan oleh bapanya yang kemudian menghantar beliau ke hospital. Dia bagaimanapun masih tidak sedarkan diri dan meninggal dunia pada 1 Februari.
Kes Vasanthapiriya menarik perhatian negara selepas bapa saudaranya memfailkan laporan polis mendakwa dia dikurung oleh penuduhnya di sekolah sebelum dihantar pulang kira-kira 5 jam kemudian.