KUALA LUMPUR: “Apa yang saya buat semuanya kerana Allah, tidak pernah menyimpan niat untuk mendapatkan balasan.”
Demikian luahan Sabariah Hussein, atau terkenal dengan panggilan Sister Sabria, yang kisah kerja amalnya di Montreal, Kanada, tular di media sosial sebelum ini.
Sister Sabria, 70, anak Malaysia kelahiran Johor, berhijrah ke Kanada kira-kira 32 tahun lepas dan kini terkenal dalam kerja-kerja amal di sana.
Sister Sabria turut mengendalikan rumah perlindungan wanita yang dikenali sebagai “Rumah Kedua Kita” (Our Second Home) di rumahnya sendiri.
Beliau turut membantu memasak makanan untuk 8 buah masjid dan 2 buah gereja di Montreal buat golongan miskin dan gelandangan di sekitar kawasan tempat tinggal beliau, tanpa mengira agama dan bangsa.
“Saya memulakan kerja amal tersebut sejak berhijrah ke Kanada dengan mengagihkan karipap. Mulanya dengan kuantiti yang kecil sahaja kepada masjid-masjid yang berdekatan dengan tempat tinggal saya.
“Langkah kecil itu akhirnya membuka mata saya untuk meluaskan kerja-kerja amal apabila melihat ramai yang memerlukan pertolongan saya,” kata pesara guru pendidikan khas itu kepada Bernama, ditemui di Majlis Syarahan Awam yang dianjurkan Putra Business School di Universiti Putra Malaysia.
Tambahnya, pada 2004, selepas mengumpulkan sumbangan untuk korban tsunami di Indonesia, beliau tertidur sehingga tiga hari kerana keletihan. Tanpa disedari, keadaan tersebut disebabkan serangan stroke ringan dan menurut doktor tempoh tiga hari itu sebenarnya beliau di dalam koma.
Beliau yang membesar bersama 20 adik-beradik berkata didikan ibu bapa yang sentiasa mengajar erti berkongsi rezeki dan kasih sayang membuatkan beliau berasa bertanggungjawab untuk menabur bakti kepada masyarakat.
“Saya adalah anak ketiga dari 6 beradik. 14 orang daripadanya adalah anak angkat.
“Walaupun, ayah hanya bekerja sebagai seorang guru dan tidak mempunyai pendapatan yang tinggi namun beliau sanggup menggalas tanggungjawab itu demi membela nasib adik-adik angkat saya,” katanya.
“Sebagai seorang yang beragama Islam, kita harus sentiasa berganding bahu supaya dapat mencermin masyarakat Islam adalah dalam kalangan orang yang baik-baik,” katanya mengakhiri perbualan.
Kegiatan amal Sister Sabria boleh diikuti di laman Facebook, Sister Sabria Foundation.