Aplikasi Warisan helah mendapatkan wang, kata Umno

RamleeKOTA KINABALU: Seorang pemimpin Umno Sabah menepis aplikasi telefon bimbit Perjuangan Rakyat yang akan dilancarkan Parti Warisan Sabah sebagai helah untuk mendapatkan wang daripada orang ramai.

“Nampaknya Warisan bersembunyi di sebalik slogan Perjuangan Rakyat sambil meminta rakyat membayar perjuangan mereka,” kata Timbalan Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Ramlee Marahaban.

“Ini parti yang sama yang meminta sumbangan untuk membayar perbelanjaan guaman presiden mereka (Datuk Seri) Shafie Apdal ketika ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia tahun lepas,” katanya kepada FMT.

Warisan berkata aplikasi Perjuangan Rakyat akan dilancarkan tidak lama lagi dan bertujuan untuk membolehkan komunikasu langsung antara parti dan rakyat, terutama generasi muda yang celik teknologi.

Ia juga membolehkan orang ramai menyumbang wang kepada perjuangan parti itu secara telus dan memaklumkan isu-isu yang dibangkitkan Warisan kepada pengguna melalui laporan berita dan video.

Ramlee berkata beliau menyedari Warisan sejak ditubuhkan pada 2016 tidak dapat mengekalkan cita-cita asal mereka.

“Slogan mereka bertukar mengikut kehendak pemimpin mereka. Ubah Sabah, kemudian Sabah untuk rakyat Sabah, dan sekarang Perjuangan Rakyat. Mereka selalu menukar arah mereka.

“Tidakkah ini menunjukkan mereka hanya mempermainkan rakyat? Kerana akhirnya, mereka hanya mahu mengutip wang daripada orang ramai. Ini taktik yang tidak bak kerana niat disebaliknya tidak baik,” katanya.

Penolong menteri kewangan Sabah itu berkata parti politik yang ikhlas memperjuangkan hak rakyat sepatutnya memiliki sumber secukupnya untuk membayar aktiviti dan kempen parti tanpa perlu mengutip derma daripada masyarakat.

Parti politik sepatutnya mengurangkan beban rakyat dan bukannya menambah masalah mereka dengan meminta wang menggunakan slogan retorik.

“Walau macam mana pun rupanya, termasuk meminta derma untuk wang ikat jamin Shafie, apa yang Warisan lakukan itu masih mengambil wang rakyat,” katanya.