Rais: Jangan ulas tindakan Sultan Kelantan tarik darjah kebesaran Dr M

rais-mahathirPETALING JAYA: PPBM hari ini tidak membenarkan ahli mengeluarkan pandangan atau berspekulasi tentang tindakan Istana Kelantan menarik darjah kebesaran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengarah Strategi dan Dasar Datuk Rais Hussin berkata Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berhak menarik semula pingat yang diberikan bapanya, Sultan Ismail Petra kepada bekas perdana menteri itu.

“Keputusan Tuanku Sultan Kelantan untuk menarik semula anugera yang diberikan kepada bapanya kepada Tun Dr Mahathir Mohamad adalah haknya.

“Tolong jangan membuat sebarang ulasan kerana ia boleh ditafsirkan sebagai menghasut, walaupun apa perasaan yang kita rasai. Allah adalah sebenar-benar pelindung,” katanya di Twitter hari ini.

Semalam, sumber memberitahu FMT, bahawa Sultan Kelantan menarik balik Darjah Kerabat (DK) Al-Yunusi Kelantan dan makluman penarikan itu dihantar ke rumah bekas perdana menteri itu di Seri Kembangan.

Surat penarikan balik darjah kebesaran berkenaan bertarikh 6 Februari dan sumber memberitahu Dr Mahathir dalam proses menyerahkan semula pingat terbabit.

Semakan FMT mendapati Dr Mahathir menerima pingat DK itu pada April 2002, dianugerahkan oleh Sultan Ismail Petra, bapa kepada Sultan Muhammad V.

Sebelum itu, media melaporkan Sultan Muhammad V menarik balik darjah kebesaran Kelantan yang membawa gelaran “Datuk” yang dikurniakan kepada Husam dan Abd Rahim.

Mereka menerima surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Faudzi Che Mamat petang semalam, memaklumkan Sultan Muhammad V menarik balik tauliah pelantikan Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK).

Istana Kelantan tarik darjah kebesaran Dr Mahathir