Musa: Yayasan Sabah terus bantu rakyat dalam kemahiran, pendidikan

Musa-Aman_sabah_yayasan_6008

SANDAKAN: Penubuhan Yayasan Sabah (YS) sejak Mei 1966 menyumbang kepada usaha melahirkan anak tempatan berjaya di bidang kemahiran dan pendidikan, kata Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

Beliau berkata, ia sejajar matlamat kerajaan negeri melahirkan modal insan berkemahiran dan berpengetahuan.

Katanya, pembinaan pusat kraftangan di Keningau oleh YS bertujuan memberi kemahiran kepada rakyat tempatan dan memajukan diri mereka.

“Begitu juga dalam bidang pendidikan, biasiswa dan yang berkenaan dapat membantu anak tempatan melanjutkan pengajian bukan sahaja di Sabah, bahkan di luar negara.

“Ini antara usaha YS membantu anak-anak Sabah dan setelah mereka berjaya kelak, mereka mampu menyumbang jasa kepada negeri mahupun negara,” katanya ketika melancarkan Jerayawara YS Bersama Rakyat hari ini.

Terdahulu, Pengarah YS, Datuk Sapawi Ahmad berkata, di bawah kepimpinan Musa yang juga pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YS, Kumpulan YS berjaya ditransformasi dan merealisasikan impian Tun Datu Mustapha Datu Harun, pelopor pembangunan YS.

Katanya, setelah lebih 50 tahun penubuhan YS, usaha Mustapha untuk memberi peluang pendidikan buat anak Sabah menjadi kenyataan dan dengan kepimpinan Musa, peluang pembelajaran lebih menyeluruh.

Menurutnya, sehingga kini, Kumpulan YS melalui Bahagian Pembangunan Pendidikan membelanjakan RM652.7 juta yang memberi manfaat kepada 101,730 pelajar dalam program tajaan pengajian dan kini kebanyakannya berjaya dalam kehidupan masing-masing.