Pembangkang di Sabah berjuang berpaksikan emosi, kata Salleh

salleh-keruak_sabah_600

KINABATANGAN: Parti pembangkang di Sabah berjuang berpaksikan emosi, bukannya untuk membela hak rakyat negeri ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

“Pemimpin parti pembangkang di negeri ini hanya mengamalkan emosi…tidak (dipilih) jadi calon dan tidak dilayan (seperti diinginkan) bertindak keluar parti.

“Mereka tidak memahami perjuangan rakyat Sabah, bagaimana untuk mereka memperjuangkan hak Sabah daripada kerajaan pusat,” katanya.

Salleh yang juga bendahari Umno berkata demikian ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut di Dataran Terbuka Tongod dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Adun Kuamut, Datuk Masiung Banah.

Salleh berkata, berbanding pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri itu yang terbukti mampu menyuarakan hak rakyat Sabah kepada kerajaan pusat pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, Najib juga menghormati dan menunjukkan komitmen dalam memberi perhatian terhadap hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Beliau berkata, Najib juga memberikan komitmen kalau ada hak Sabah yang terambil secara tidak sengaja oleh pihak kerajaan persekutuan, akan dikembalikan kepada negeri itu.

Dalam pada itu, Salleh berkata, penting untuk mengekalkan kerajaan BN sedia ada yang mampu menentukan kesinambungan kestabilan negara, menyediakan peluang ekonomi kepada rakyat dan perancangan masa depan.

Katanya, 3 faktor itu penting bagi memastikan keamanan negara, keharmonian rakyat dan ekonomi serta dalam melaksanakan pembangunan untuk kesejahteraan rakyat.