Thailand turut bantah usul EU sekat minyak sawit

Mah-Siew-Keong_kelapa-sawit_eu_600

KUALA LUMPUR: Thailand, pengeluar minyak sawit ke-3 terbesar dunia, akan bekerjasama dengan Malaysia dan Indonesia untuk menolak usul Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan perdagangan terhadap minyak sawit sebagai sebahagian daripada perundangan rasminya.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong yang mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Perdagangan Thailand, Sontirat Sontijirawong, di sini, berkata kesediaan Thailand untuk bekerjasama juga menggambarkan kesepakatan serta ketegasan negara pengeluar utama minyak sawit bagi menentang ketidakadilan dan penindasan berterusan Parlimen EU terhadap komoditi itu.

“Komitmen Thailand juga membuktikan Malaysia tidak bersendirian dalam memperjuangkan nasib lebih 3 juta pekebun kecil sawit di rantau Asean dan usaha penentangan ini mendapat sokongan padu daripada negara pengeluar minyak sawit lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Thailand dianggar mengeluarkan hampir 2.5 juta tan metrik minyak sawit tahun lepas.

Mah berkata, negara pengeluar minyak sawit utama Asean – Indonesia, Malaysia dan Thailand – akan menggunakan semua ruang yang ada untuk menentang sekatan diusulkan Parlimen EU itu, termasuk menerusi kerangka Asean.

Semasa mesyuarat tertutup itu yang juga disertai pegawai eksekutif kanan dari kedua-dua kementerian tersebut, isu mengenai getah turut dibincangkan menumpukan langkah menstabilkan harga pasaran getah dunia.

Mah memberi jaminan Malaysia akan patuh kepada kouta eksport getah asli seperti dipersetujui melalui Skim Jumlah Eksport Yang Dipersetujui pada Mesyuarat Khas Negara-negara Tiga Pihak Getah Antarabangsa (ITRC) pada 22 Disember 2017.

Beliau berkata, ketiga-tiga negara ITRC itu juga bersetuju mengehadkan eksport getah asli kepada 350,000 tan metrik bagi 3 bulan pertama 2018.

“Kesediaan negara ITRC untuk mematuhi kouta diperuntukkan penting bagi memastikan mekanisme ini dapat memberikan impak positif terhadap harga pasaran getah asli global,” katanya.