Dr Mahathir sedang pulih, kata Marina

marina-mahatihir-ijn-1PETALING JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) dalam masa beberapa hari ini, kata anak sulungnya.

Datin Paduka Marina Mahathir berkata, bapanya sedang pulih selepas menerima rawatan untuk jangkitan di dada akibat diserang batuk.

“Dia baik-baik sahaja. Pada dasarnya, doktor lebih suka beliau berada di sana (hospital) daripada bergerak ke sana sini,” katanya kepada FMT.

Semalam, IJN dalam satu kenyataan berkata, bekas perdana menteri itu dimasukkan ke hospital pakar itu pada Jumaat malam.

Pengerusi PPBM itu dirawat di wad biasa akibat jangkitan di dada selepas diserang batuk.

Marina berkata, beliau tidak melawat bapanya hari ini, tetapi ibunya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sudah menziarahinya dan kata beliau sedang sembuh.

Katanya, bapanya tidak sihat mungkin disebabkan jadual sibuk dan beliau akan mula berkempen semula selepas Tahun Baharu Cina.

Ini kali ke-2 dalam tempoh 18 bulan calon perdana menteri PH itu dimasukkan ke IJN akibat jangkitan di dada, selepas Ogos 2016 untuk rawatan dan pemerhatian.

Dr Mahathir menjalani pembedahan pintasan koronari di IJN pada 1989, selepas mengalami masalah jantung. Beliau kemudiannya menjalani satu lagi pembedahan pintasan jantung pada 2007.

Pada 2013, pengerusi PPBM itu turut dimasukkan ke IJN selama 10 hari untuk rawatan akibat jangkitan di dada.

Dr Mahathir yang akan berusia 93 tahun pada Julai ini ialah calon perdana menteri PH dan pernah memimpin negara selama 22 tahun, sebelum berundur pada 2003.

Dr Mahathir dimasukkan ke IJN akibat jangkitan dada