Musa Aman puji semangat kerja keras, pergorbanan masyarakat Cina

musa-aman-cnyPETALING JAYA: Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman hari ini mengiktiraf sumbangan masyarakat Cina, terutama di sektor ekonomi dan perdagangan, mengangkat mereka sebagai contoh untuk masyarakat lain dalam industri perniagaan.

Musa dalam ucapan sempena Tahun Baru Cina berkata sudah banyak yang mereka lakukan untuk memajukan perdagangan di negara ini.

“Kerja keras dan pengorbanan anda dalam menjalankan perniagaan serta kesungguhan anda dalam bidang diceburi menjadi sifat yang harus dicontohi mereka yang berniat menjadi usahawan,” katanya dalam kenyataan.

Musa memberi jaminan kerajaan mendengar maklum balas daripada masyarakat Cina dan akan terus bekerjasama mencari penyelesaian kepada isu berbangkit.

Beliau berkata Sabah contoh terbaik bagaimana budaya dan kepercayaan yang pelbagai merapatkan hubungan rakyat dan bukannya memecah-belahkan.

“Kita saling belajar sesama kita dan tumpu pada nilai-nilai positif yang diketengahkan setiap orang. Dengan berbuat demikian, kita mencipta persekitaran yang harmoni dan terbuka.

“Harapan saya untuk rakyat Malaysia di Sabah ialah tidak memberi peluang kepada mereka yang mempunyai motif tersembunyi untuk mengganggu keharmonian dan ikatan kuat yang kita nikmati hari ini. Nenek moyang kita berkorban untuk membina Sabah dan Malaysia, dan kita mesti hormati legasi yang mereka wariskan pada kita,” katanya.

Musa memuji ekonomi Sabah yang bingkas menghadapi faktor dalaman dan luaran kerana dasar-dasar yang mantap di peringkat persekutuan dan negeri.

Beliau berkata pendidikan dan keselamatan juga masih aspek utama pembangunan Sabah.

“Untuk Sabah mencapai kejayaan dalam semua rancangannya, kita mesti bersatu. Kestabilan politik dan ekonomi akan membolehkan Sabah membangunkan diri setanding negeri Malaysia yang lain.

“Marilah kita rapatkan barisan dan bekerja ke arah Sabah yang lebih progresif dan memastikan tiada rakyat keciciran.”