Kenapa hanya Amanah dituduh pecah belah umat Islam dan Melayu, soal Mat Sabu

mat-sabu-amanah

PETALING JAYA: Presiden Amanah Mohamad Sabu membidas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menuduh Amanah memecah belahkan umat Islam dan undi Melayu.

Beliau berkata mengapa hanya Amanah sahaja yang dikatakan membawa perpecahan kepada Melayu sedangkan PKR dan PPBM juga menentang Umno dan PAS.

“Kenapa apabila Amanah mahu bertanding melawan Umno dan PAS maka dikatakan membawa perpecahan kepada Melayu?

“PKR dan PPBM juga akan menentang Umno dan PAS, adakah mereka juga dianggap membawa perpecahan kepada Melayu?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hadi dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia mendakwa Amanah wujud untuk memecahbelahkan umat Islam, undi Melayu dan memberi talian hayat kepada Umno untuk menang pilihan raya.

Tambah Hadi, sekiranya Amanah mahu melawan Umno mengapa parti itu “sibuk” memasuki kerusi PAS yang secara tradisi menyaksikan pertandingan PAS-Umno sejak puluhan tahun.

Beliau merujuk kepada rancangan Amanah untuk bertanding di 27 kerusi Parlimen yang sebahagian besarnya di kerusi PAS. PAS dikatakan mahu bertanding di 130 Parlimen pada pilihan raya umum ke-14.

Mohamad bagaimanapun berkata Amanah bersama Pakatan Harapan (PH) mempunyai agenda besar dalam melakukan reformasi institusi serta mewujudkan sebuah kerajaan yang mengamalkan urus tadbir yang baik.

“Maka kita bertekad akan menentang Umno BN dan mana-mana pihak yang bersekutu dengannya dalam pilihan raya akan datang ini,” katanya.

Mohamad berkata, Amanah tidak ada apa-apa persepakatan dengan PAS dan partinya akan bertanding di mana-mana sahaja tempat yang dipersetujui secara bersama dalam PH.

“Kenapa pula apabila PAS mengisytiharkan bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh yang disandang PKR, ia tidak dianggap sebagai membawa perpecahan kepada Melayu?” katanya.

Hadi pada awal Februari lalu mengesahkan PAS akan bertanding di Parlimen Permatang Pauh pada pilihan raya akan datang, bahkan menyatakan kerusi itu adalah milik PAS pada 1978.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh disandang Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang memenanginya menerusi pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan pada Mei 2015 berikutan penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

PAS bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh sejak 1969 sebelum menyerahkan kerusi itu kepada PKR pada pilihan raya tahun 1999. Anwar mewakili kerusi itu sejak 1982 atas tiket Umno.

Amanah pula ditubuhkan pada 2015, selepas pemilihan PAS tahun itu yang menyaksikan kelompok yang mahu PAS kekal bekerjasama dengan PKR dan DAP tersingkir daripada pucuk pimpinan.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/02/18/amanah-pecahbelah-umat-islam-undi-melayu-dakwa-hadi/