Singapura perkenal dana rel bernilai RM14 bilion

singapore-rail

SINGAPURA: Singapura akan mewujudkan Dana Prasarana Rel bernilai S$5 bilion (RM14.81 bilion) tahun ini bagi projek laluan kereta api utama pada masa depan, kata Menteri Kewangan, Heng Swee Keat

“Jumlah ini akan ditambah pada tahun berikutnya jika kedudukan fiskal mengizinkan,” katanya sewaktu membentangkan Bajet 2018 republik berkenaan di Parlimen hari ini.

Heng berkata, bagi pelaburan prasarana Singapura, “cabaran utamanya adalah perbelanjaan tertentu akan menjadi sangat tinggi dengan pelaburan pendahuluan yang besar.

“Namun, faedahnya dapat dinikmati bertahun-tahun,” katanya

Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat juga akan menimbang pinjaman bagi projek akan datang seperti projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura dan Rapid Transit System Link Johor Bahru-Singapura, kata Heng.

Bagi mengukuhkan hasilnya, Singapura bercadang menaikkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 2 mata peratusan, daripada 7.0% kepada 9.0%, bagi tempoh 2021 dan 2025.

“Masa yang tepat akan bergantung kepada kedudukan ekonomi, berapa banyak perbelanjaan kami berkembang dan sejauh mana prestasi cukai sedia ada kami,” katanya.

Bagaimanapun, Heng berkata, Singapura dijangka meningkatkan kadar GST itu lebih awal daripada tempoh berkenaan.

“Kenaikan GST perlu kerana, walaupun selepas melihat pelbagai pilihan menguruskan perbelanjaan masa hadapan, menerusi perbelanjaan berhemah, simpanan dan pinjaman untuk prasarana, masih terdapat jurang.

“Menaikkan GST sebanyak 2 mata peratusan akan memberikan hasil kira-kira 0.7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setahun,” katanya.

Bagi Bajet 2018 Singapura, ia akan terus berkembang, kata Heng.

Menurutnya, jumlah keseluruhan perbelanjaan kementerian dijangkakan sebanyak S$80.0 bilion (RM237 bilion), atau 8.3% lebih tinggi berbanding 2017.

“Secara keseluruhan, kita jangkakan sedikit bajet defisit iaitu S$0.6 bilion (RM1.78 bilion), atau 0.1% dari KDNK,” katanya.