Warga emas dapat kerakyatan selepas lebih 10 cubaan

Pachaiamah-Kolade-Warga-emas-dapat-kerakyatan-selepas-lebih-10-cubaanKARAK: Pachaiamah Kolade akhirnya menjadi warganegara Malaysia pada usia 70 tahun, selepas penantian dan cubaan selama bertahun.

The Star melaporkan Pachaiamah yang dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia, hanya diberikan kerakyatan sekarang. Beliau yang dahulunya tinggal di Batu Gajah, kini menetap di Pahang.

“Satu-satunya penyesalan saya ialah suami dan 2 anak lelaki tidak dapat berkongsi kegembiraan saya. Mereka sudah meninggal dunia,” katanya kepada akhbar itu selepas mendapat dokumennya daripada Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam di pejabat Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan (SITF).

Pachaiamah yang membesar di Batu Gajah, Perak, berkata ibu bapanya tidak mendaftar kelahirannya kerana terlalu miskin dan tidak tahu betapa pentingnya perkara itu.

Menurut laporan itu, cubaannya memohon kerakyatan lebih 10 kali, semuanya ditolak kerana kekurangan dokumen sokongan.

“Kini, saya boleh pulang untuk tunjuk dokumen berharga ini kepada 4 anak saya yang lain. Ini hadiah terbaik pernah saya terima dan saya akan memegangnya sambil tidur malam ini,” katanya dipetik The Star.

Pachaiamah yang tinggal bersama anaknya di rumah kos rendah di Sunga Gapoi, Bentong, Pahang, dengan bantuan kebajikan RM350 sebulan, berterima kasih kepada kerajaan dan MIC atas bantuan mereka.

Dr Subramaniam berkata, kes Pachaiamah hanya satu daripada 7,000 kes berkaitan kewarganegaraan yang berjaya diselesaikan dan masih ada 4,000 kes di bawah penelitian.

“Sejak penubuhan SITF, kami menerima 1,107 kes dan kira-kira 60% berjaya diselesaikan. Kebanyakan kes dibawa kepada perhatian SITF melibatkan bantuan kebajikan, pendidikan, dan perubatan, juga permohonan dokumen seperti kad pengenalan, sijil kelahiran dan kewarganegaraan,” katanya dipetik akhbar itu.

Dr Subramaniam, yang membuka 11 pejabat SITF berkata, 10 lagi pejabat SITF akan dibuka di seluruh negara tahun ini di kawasan yang mempunyai ramai orang India.