Ahli PAS desak SPRM dedah hasil siasatan kekayaan keluarga Dr M

sprm-bangunan-logoKOTA BHARU: Ahli akar umbi PAS Kawasan Kubang Kerian mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan hasil siasatan terhadap dakwaan kekayaan ahli keluarga Tun Dr Mahathir Mohamad.

Wakilnya, Azmi Mat Husin berkata kemewahan yang dimiliki keluarga berkenaan sangat luar biasa kerana seorang anak Mahathir, Tan Sri Mokhzani turut tersenarai antara orang terkaya di Malaysia.

“Saya hairan dengan apa yang dilakukan Dr Mahathir ketika beliau menjadi perdana menteri sehingga anaknya memiliki kekayaan luar biasa.

“Justeru, kami mendesak siasatan SPRM sebelum ini dapat didedahkan kepada umum kerana ramai yang nak tahu mengenainya,” katanya selepas mengadakan perhimpunan mendesak perkara itu di depan Masjid al-Fattah, Jalan Pintu Geng, semalam.

Kira-kira 20 ahli PAS Kawasan Kubang Kerian turut menyertai perhimpunan yang berlangsung selepas solat Jumaat itu.

Dalam pada itu, Azmi turut menggesa kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap tragedi Memali yang mengorbankan 18 nyawa, termasuk 4 anggota polis dalam kejadian lebih 30 tahun lepas itu.

Beliau berkata, rakyat Malaysia ingin mengetahui kejadian sebenar dan mereka yang terbabit dengan kes berkenaan perlu dihukum, jika dibuktikan bersalah.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/08/08/sprm-kalau-ada-unsur-rasuah-kami-akan-siasat-zahid-dr-m/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/08/10/lhdn-turut-serbu-syarikat-mukhriz-dan-mirzan-pada-hari-sama/