Salleh: Negara aman makmur kerana dasar, ideologi sederhana

malaysia-aman-makmur-malayKOTA BELUD: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata rakyat Malaysia seharusnya bersyukur kerana sejak merdeka, negara secara keseluruhannya dalam keadaan aman, hasil pelaksanaan dasar yang mengambil kira kepentingan rakyat.

Beliau berkata, menerusi dasar yang dibentuk bagi mewujudkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran berterusan, rakyat pelbagai kaum serta agama di negara ini sentiasa berasa selamat dan mampu mengecapi pelbagai nikmat pembangunan disediakan kerajaan.

“Kita di Malaysia secara keseluruhannya, kita rasa selamat, walaupun kadang-kadang berlaku peristiwa kecil (yang tidak diingini). Ini disebabkan sejak merdeka lagi, keutamaan kerajaan ialah memastikan negara ini stabil dan makmur.

“Kita memilih dasar sederhana, jalan pertengahan. Kita tidak amalkan ideologi ekstrem tetapi ideologi ‘moderate’ agar kita boleh menentukan dengan adanya perpaduan, negara kita akan terus maju,” katanya.

Beliau yang juga adun Usukan berucap demikian pada majlis Pesta Ang Pau dan Penghargaan Warga Emas di sini, malam tadi.

Salleh berkata, falsafah “1Malaysia” dan yang terbaharu “Negaraku” merupakan kesinambungan dasar kerajaan sebelum ini bagi menanam rasa kekitaan dan persaudaraan dalam kalangan rakyat Malaysia majmuk agar perpaduan terus terpelihara dan berkekalan.

“Kita beri penekanan inilah tanah air kita. Di sinilah tanah tumpah darah kita. Di sinilah kita mencari (peluang) pendidikan dan ekonomi agar sama-sama dapat menyumbang untuk pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) akan meneruskan usaha memperkenalkan dasar diyakini baik untuk masa depan negara dan membawa kemakmuran hidup kepada rakyat pada masa depan, termasuk pengenalan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Katanya, dasar itu diwujudkan atas dasar pandangan jauh kerajaan untuk menyiapkan generasi akan datang dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi meneruskan agenda pembangunan negara dalam usaha menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Justeru, Salleh mengingatkan rakyat sentiasa berwaspada dan tidak terpengaruh dengan tindak-tanduk segelintir pihak yang sentiasa cuba mengganggu kestabilan negara kerana perbuatan pihak tidak bertanggungjawab itu hanya akan merosakkan negara ini.